Semak semula polisi pengambilan pekerja asing

Semak semula polisi pengambilan pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia disaran menyemak semula polisi pengambilan pekerja asing sebagai langkah awal mengurangkan kebergantungan terhadap mereka, rentetan penurunan kadar kelahiran di negara ini.

Beberapa ahli akademik percaya, semakan semula polisi bagi memastikan pekerja asing adalah melengkapi keperluan negara, bukannya bersaing dengan sumber tenaga kerja tempatan.

Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Zailin Zainal Ariffin berkata, semakan polisi tersebut dengan memperkemas proses visa dan melaksana langkah melindungi hak kedua-dua pekerja tempatan dan asing.

Zailin Zainal Ariffin

“Cadangan ini untuk memudahkan pekerja asing mahir datang ke Malaysia di samping memastikan mereka mengisi kekosongan dalam tenaga kerja dan bukannya menggantikan pekerja tempatan.

“Matlamatnya untuk mewujudkan pendekatan seimbang yang mana polisi yang bakal dilaksana akan menyumbang secara positif kepada ekonomi dan masyarakat tanpa memberi kesan negatif kepada pekerja tempatan.

“Ini boleh termasuk memudahkan proses permohonan visa, menawarkan insentif pekerja mahir berhijrah dan melaksana peraturan melindungi hak dan kepentingan pekerja tempatan dan asing seperti gaji yang adil dan keadaan kerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini..

Bagaimanapun, kata Zailin, menangani kekurangan sumber manusia memerlukan usaha bersama pelbagai pihak antaranya kerajaan melaksana dasar memberi insentif kepada kelahiran anak seperti bantuan kewangan kepada keluarga yang mempunyai anak, menawarkan pelepasan cukai, menambah baik faedah cuti bersalin dan paterniti.

“Tidak salah jika kerajaan melabur dalam program pendidikan dan latihan vokasional untuk meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja sedia ada yang boleh membantu merapatkan jurang kemahiran dan memastikan pekerja diperlengkap untuk peluang pekerjaan masa hadapan.

“Bagi industri, elok untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan meramal permintaan buruh masa hadapan dan mengenal pasti kekurangan kemahiran kritikal dalam industri utama. Ini boleh membantu memaklumkan program pendidikan dan latihan serta memastikan tenaga kerja disediakan secukupnya untuk memenuhi keperluan industri,” katanya.

Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak tidak menafikan penurunan kadar kelahiran di Malaysia bakal menjejaskan sumber manusia dalam kalangan rakyat tempatan sekali gus mencetus impak lebih buruk.

Mohamad Idham Md. Razak

Katanya, pergantungan lebih besar kepada buruh asing berisiko mendorong mereka mengisi jawatan penting terutama dalam sektor pembuatan, pembinaan dan penjagaan kesihatan jika bekalan buruh terus berkurang.

“Pastinya wujud jurang kemahiran, dengan semakin sedikit golongan muda memasuki tenaga kerja, mungkin terdapat kekurangan pekerja mahir dalam industri tertentu. Ini menyebabkan kesukaran mengisi jawatan permintaan tinggi dan menghalang pertumbuhan ekonomi.

“Saya khuatir jika nisbah warga emas lebih besar berbanding individu umur bekerja, ini boleh menjejaskan penjagaan kesihatan, sistem kebajikan sosial dan mengurangkan produktiviti keseluruhan tenaga kerja.

“Walaupun pekerja asing boleh membantu menangani kekurangan buruh segera, mungkin terdapat cabaran berkaitan integrasi budaya, halangan bahasa dan potensi ketegangan dengan pekerja tempatan,” katanya.

.Ku Muhammad Na’im Ku Khalif

Felo Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Kecerdasan Buatan dan Sains Data, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Ku Muhammad Na’im Ku Khalif berkata, walaupun kemajuan teknologi dan AI akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu, namun, ia juga akan membentuk semula pasaran buruh dan memerlukan kemahiran khusus.

“Walaupun peranan tradisional tertentu mungkin diautomasi, pekerjaan baharu akan muncul yang memerlukan kreativiti manusia, pemikiran kritis dan kecerdasan emosi. Oleh itu, langkah proaktif masih perlu untuk memastikan tenaga kerja disedia secukupnya untuk pekerjaan masa hadapan, meskipun teknologi boleh menangani isu kekurangan tenaga kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN