KUALA SELANGOR: Selangor berhasrat memastikan kestabilan bekalan makanan di negeri ini dengan mewujudkan gudang simpanan makanan khususnya beras untuk tempoh tiga bulan yang sedang dalam pembinaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, simpanan tersebut bertujuan memastikan kesediaan negeri berdepan dengan pelbagai krisis termasuk konflik berlaku di tempat lain yang berisiko memberi impak kepada Selangor.
“Insya-Allah, kalau projek itu lengkap dan Selangor akan mempunyai keterjaminan makanan antara tiga bulan atau paling lama enam bulan. Maknanya, kalau hadapi peperangan sekitar (antarabangsa) dan beras tidak dapat diimport dan sebagainya, kita masih ada bekalan makanan.
“Jadi, Selangor akan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang akan mempunyai daya tahan kerjaminan makanan selama tiga bulan tanpa ganggu gugat daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan ekspo Jualan Termurah Madani di Tanjong Karang, hari ini.
Tambahnya, beliau akan melihat keperluan untuk menyimpan makanan lain seperti daging dan sebagainya, namun memerlukan penelitian termasuk ketahanan serta tempoh simpanan untuk mengelak berlaku pembaziran akibat melepasi tarikh luput.
Sementara itu, Amirudin turut mengulas penganjuran Jualan Termurah Madani yang merupakan kali pertama dianjurkan di negeri ini dan akan menggabungkannya dengan Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada masa akan datang.
Menurutnya, penggabungan tersebut untuk mengenal pasti formula terbaik untuk membekalkan barangan tanpa melibatkan tanggungan subsidi yang tinggi namun dapat menjual keperluan harian dengan harga murah.
“Jadi, kalau kita gabungkan dengan Jualan Termurah Madani, tak semua tempat akan jadi macam ini, tetapi di sesetengah tempat paling tidak kita target satu parlimen kita dapat buat di sepanjang tahun 2024 termasuk Ramadan nanti, kita tengok kekuatan dan kemampuan kita.
“Tetapi isu yang lebih penting, jualan-jualan itu di masa depan, ia akan bergabung dengan simpanan yang kita hendak buat. Stockpile itu kita sedang usahakan, saya sedang berbincang dengan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) juga macam mana formula terbaik supaya ia tidak membazir tetapi ia juga digunakan tepat pada waktunya,” jelasnya.
Katanya lagi, beliau juga berhasrat menemukan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan NACCOL untuk penganjuran program seperti JER bersama Jualan Termurah Madani dengan pendekatan lebih baik. – UTUSAN











