Rasuah: Tiada keperluan rangka undang-undang baharu

Rasuah: Tiada keperluan rangka undang-undang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada ke­perluan untuk pihak kerajaan mewujudkan satu peruntukan perundangan khas bagi menangani gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, langkah itu tidak perlu dilaksanakan kerana sistem sedia ada sudah cukup berkesan bagi menangani gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.

“Undang-undang sebelum ini sudah termaktub, jadi pada pandangan kami tak perlu pun untuk adakan lagi perundangan tambahan, melainkan kalau ia dibawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan untuk lebih telus,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, timbul cadangan supaya rangka satu peruntukan perundangan khas diwujudkan untuk menangani gejala rasuah.

Peruntukan itu sebagaimana dilaksanakan di Brunei dan Hong Kong yang dikenali misconduct public office atau ‘salah laku pejabat awam’ terkan­dung di bawah Akta Pencegahan Rasuah di kedua-dua negara terbabit.

Dengan adanya peruntukan undang-undang itu, mana-mana pihak yang membuat keputusan melibatkan hal kerajaan sehingga mendatangkan kerugian atau wujud salah laku boleh diambil tindakan.

Tambah Abdul Rahman, setakat ini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah cukup hebat bagi menangani, mengatasi dan menjalankan siasatan berkenaan masalah gejala rasuah.

Katanya, keperluan semua pihak pada masa kini adalah mencari punca peningkatan masalah rasuah yang menjadi penyumbang kepada peningkatan indeks rasuah.

“Kadang-kadang orang yang suka memberi rasuah inilah yang jadi punca. Kalau dia tidak beri, orang pun tidak akan ambil, jadi mereka ini yang kita kena siasat dan kenakan tindakan setimpal,” ujarnya.

Terbaharu, skor yang diperoleh Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 meningkat kepada 50 mata sekaligus meletakkan negara ini di ranking ke-57 daripada 180 negara seluruh dunia.

Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan, antara faktor peningkatan tersebut disebabkan peranan SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam mendakwa dua bekas Perdana Menteri dalam kes membabitkan ra­suah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×