BANGI: Lima penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh dalam kejadian tular pukul dan ikat seorang lelaki di Taman Pelangi Semenyih, dekat sini minggu lalu.
Mereka ialah Mohd. Yuree Ranoff Mohd. Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd. Azan 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap semua tertuduh di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd. Nawawi. Pengakuan tidak direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang di sini pukul 9.54 malam pada 20 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan sekiranya sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam Mohammad Hafiz. Tiada ikat jamin diberikan terhadap kelima-lima tertuduh. Mahkamah menetapkan 25 April ini bagi sebutan laporan forensik, bedah siasat dan laporan kimia.
Minggu lalu media melaporkan, polis menerima maklumat mengenai satu kemalangan pukul 9.20 malam, sebelum anggota trafik ke situ dan menemukan sebuah kereta Proton Saga dipercayai terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan di situ.
Setibanya di lokasi kejadian, seorang lelaki ditemukan tidak bernyawa dalam keadaan terbaring atas jalan dan terdapat kesan pergelangan tangan seperti diikat. Susulan itu, polis menahan lima lelaki berusia 22 hingga 52 tahun pada 21 Februari lalu bagi membantu siasatan. – UTUSAN










