Projek pembesaran Empangan Mengkuang Fasa 2B siap

Projek pembesaran Empangan Mengkuang Fasa 2B siap

PROJEK Pembesaran Empangan Mengkuang Fasa 2B (MDEP) yang dilaksanakan sejak 2011 di Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Projek Pembesaran Empangan Mengkuang Fasa 2B (MDEP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat sejak 2011 kini siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada kerajaan negeri, semalam.

Penyerahan itu disempurnakan Timbalan Pengarah Bahagian Bekalan Air dari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Ir. Norzani Mahmood kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Rosli Isa.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir K.Pathmanathan berkata, projek Fasa 2B yang menelan belanja RM72.5 juta melibatkan pemasangan saluran paip air mentah berdiameter 1.6 meter (m) sepanjang 7 kilometer (km) dari Rumah Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua.

Katanya, saluran paip itu secara efektif meningkatkan kapasiti pengeluaran Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) daripada 300 juta liter sehari (JLH) kepada 600 JLH.

“Peningkatan kapasiti pelepasan ini akan membantu Pulau Pinang dan PBAPP ketika musim kemarau yang panjang atau senario kecemasan yang melibatkan Sungai Muda.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menyerahkan projek tersebut kepada PBAPP untuk diuruskan demi kepentingan pengguna air di Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.

Projek Pembesaran Empangan Mengkuang bermula pada 2011 melalui peruntukan secara langsung kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.2 bilion dengan membabitkan empat fasa iaitu Fasa 1, Fasa 2A, Fasa 2B dan Fasa 2C.

Menurut Pathmanathan, pada 2022 dan 2023, terdapat tiga insiden Sungai Muda yang berpunca di Kedah yang memaksa PBAPP menghenti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

”Setiap henti tugas LRA Sungai Dua menjejaskan perkhidmatan bekalan air untuk kira- kira 465,000 pengguna di Pulau Pinang selama beberapa hari.

“Jadi untuk melindungi Pulau Pinang daripada impak negatif insiden Sungai Muda pada masa depan, PBAPP mencadangkan pemasangan saluran paip tambahan untuk meningkatkan lagi kapasiti pelepasan EMD sebanyak 400 JLH kepada 1,000 JLH.

”Dengan kapasiti pelepasan 1,000 JLH dari empangan, LRA Sungai Dua tidak perlu dihenti tugas apabila berlaku lagi insiden Sungai Muda,”katanya yang memaklumkan bahawa kos pemasangan saluran paip tambahan 400 JLH oleh PBAPP berkemungkinan melebihi RM100 juta.

Jelas Pathmanathan, PBAPP juga akan mengemukakan pelan terperinci dan anggaran bajet pelaburan untuk kelulusan Lembaga Pengarah PBA Holdings Bhd, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan projek berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN