Ya Allah! Selamatkan anak-anak kami

Ya Allah! Selamatkan anak-anak kami

HULU TERENGGANU 2 Januari 2024 - Gelagat murid-murid bersama ibu dan bapa yang dirakam pada hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, hari ini. Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas akibat banjir untuk hadi ke sekolah dengan berpakaian biasa ketika sesi persekolahan bermula. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah dahulu saya tersedar di tengah malam dilanda ketakutan yang amat sangat! Saya bermimpi Asma Sofiah, anak kedua saya hilang diculik orang!

Memuatkan artikel berkaitan…

Usahkan di alam nyata, dalam mimpi pun pengalaman pahit kehilangan anak tiada siapa yang mahu.

Anak adalah buah hati yang membuahkan berbagai kegembiraan lain. Memahami fitrah ini, Allah menegaskan anak-anak boleh menjadi ujian berat untuk ibu bapa.

FirmanNya: Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. (al-Taghabun:15).

Pada suatu hari, cucu nabi berdua Hasan dan Husayn berlari berlumba menuju Nabi. Baginda lantas memeluk mereka dan berkata: Ertinya : “Sesungguhnya anak-anak ialah penyebab kebakhilan, kebaculan dan kesedihan.” (Mustadrak al-Hakim, 4771)

Benar! Hadis ini menjelaskan kasih sayang kepada anak-anak boleh menyebabkan ibu bapa menjadi bakhil untuk bersedekah kerana lebih mengutamakan keperluan mereka.

Cinta kepada anak juga boleh menimbulkan rasa takut untuk berjihad kerana bimbang mereka menjadi yatim, selain membawa kesedihan mendalam apabila ditimpa sebarang musibah.

Isteri boleh dicerai atau terhakis kasihnya tetapi tidak pada anak. Kasih pada anak sangat ajaib kerana demi anak-anak manusia sanggup berhabis harta atau berperit jerih demi kebahagiaan mereka.

Kasih pada anak seumpama akar tunjang yang menjalar mendasar ke dalam bumi. Ia sukar dicabut atau disentap begitu sahaja. Ia menjadi sebab duka atau bahagia seseorang manusia.

Oleh itu Allah menuntut ibu bapa menjadikan cinta sejati ini sebagai kenderaan membawa anak-anak ke lorong syurga dan bukannya lubang neraka (al-Tahrim 66:6).

Terbaharu negara digemparkan kes kematian dua pelajar sekolah di Yong Peng Johor dan Negeri Sembilan. Berikutan kes tersebut, pelbagai reaksi dan respon muncul dalam media sosial daripada ibu bapa yang masih mempunyai anak yang bersekolah dan tinggal di asrama.

Kerisauan itu wajar kerana bahaya boleh menimpa sesiapa sahaja dan di mana-mana. Hari ini musibah menimpa anak orang, tidak mustahil esok lusa menimpa anak kita pula. Semoga Allah menjauhkan kita daripada segala musibah.

Rencana ini tidak bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung dua insiden berkenaan. Hakikatnya, apabila satu jari dituding kepada orang lain, empat lagi mengarah kepada diri sendiri. Justeru, jangan kita terburu-buru menyalahkan mana-mana pihak, sama ada Menteri Pendidikan, pihak sekolah, warden asrama, guru mahupun ibu bapa yang terlibat.

Penulis percaya semua pihak sudah berusaha sedaya mungkin melakukan yang terbaik untuk menjamin keselamatan anak-anak kita dan anak-anak orang lain di sekolah. Namun malang memang dijadikan Allah munculnya tanpa ‘rasa atau bau’.

Rencana ini mencadangkan suatu cadangan holistik kepada semua iaitu doa khusus untuk semua anak-anak kita di sekolah. Jangan pula disalah faham saranan doa ini hanya sebuah jampi ajaib yang boleh mengubah semua keadaan dalam sekali hembus.

Tidak! Doa dalam Islam bergerak seiring dengan usaha ikhtiar manusia. Manusia yang berusaha tanpa doa, boleh jatuh sombong kerana ada tanggapan secara tidak langsung dalam dirinya bahawa tanpa doa pun dia boleh berjaya. Sedangkan penentu akhir kejayaan sebuah usaha tetap kembali kepada Allah yang menentukan segala takdir baik atau buruk.

Manusia yang hanya berdoa tanpa usaha juga salah, kerana alam nyata dan alam fizikal yang manusia diami perlu terlebih dahulu digerakkan peredarannya dengan usaha ikhtiar. Pendek kata,

Muslim sejati perlu berusaha dengan segala langkah terbaik dan seterusnya melengkapkan usahanya dengan doa. Sabda Nabi SAW: Ertinya “Tidak akan ditolak sebarang ketentuan (Allah) melainkan dengan doa dan tidak ada perkara yang mampu menambah (memanjangkan) usia melainkan dengan amal kebajikan.” (Sunan al-Tirmidhi, 2065).

Ketika ditanya seorang sahabat tentang peranan usaha, Nabi SAW menegaskan usaha sebahagian daripada takdir ketentuan Allah: Ertinya: Seorang sahabat bertanya, Wahai Rasulullah! Apa pandanganmu tentang peranan jampi yang kami gunakan, ubat yang kami berubat dengannya serta langkah berjaga-jaga yang kami waspadainya, adakah itu semua mampu menolak (mengubah) takdir Allah? Baginda menjawab: (Benar!) Itu semua termasuk daripada takdir Allah (Sunan al-Tirmidhi, 2065).

Setakat penelitian penulis terhadap al-Quran dan hadis Nabi SAW, tiada doa khusus yang dianjurkan agama untuk memohon keselamatan anak-anak.

Namun, Allah menjanjikan doa ibu bapa untuk anak-anak sebagai antara doa yang mustajab.

Sabda Nabi SAW: Ertinya: “Tiga jenis doa yang tiada keraguan pada penerimaannya (oleh Allah), iaitu doa (ibu) bapa kepada anaknya (sama ada doa yang baik atau buruk), doa orang musafir dan doa orang yang sedang dizalimi.” (Sunan Abu Dawud, 1536).

Ini kerana antara syarat kemakbulan doa ialah jiwa yang tulus ikhlas. Pastinya keikhlasan ini wujud secara fitrah dalam ibu bapa. Selain itu, antara satu teknik doa berkesan ialah mendoakan seseorang secara rahsia.

Sabda Nabi SAW: Ertinya: “Sesiapa yang berdoa untuk saudaranya secara rahsia (tanpa diketahui saudaranya), malaikat yang bertanggungjawab dalam urusan doa akan mengaminkannya dan berdoa (untuk si pendoa): Bagimu (habuan doa) yang sama sepertinya.” (Sahih Muslim, 2732). Tirmidhi).

Perkara ini pun selalu dipanjatkan ibu bapa kepada anak-anak mereka secara berterusan tanpa si anak tahu.

Oleh itu, jangan putus berdoa untuk kesejahteraan anak-anak kita walau di mana mereka berada. Semoga doa itu menjadi pengawal peribadi berkuasa melindungi anak-anak daripada segala bencana yang boleh mengguris jiwa kita.

Di akhir rencana ini, penulis kongsikan satu doa yang sudah sekian lama dibaca untuk anak-anak dan isteri penulis : “Ya Allah berkatilah anak-anak dan pasangan kami, janganlah Engkau timpakan sebarang bahaya kepada mereka, berilah mereka petunjuk untuk mentaati-Mu, dan kurniakan kami kebaikan (bakti) mereka.”

Kepada ibu bapa yang kehilangan anak tercinta dalam insiden baru-baru ini, penulis ingin hadiahkan mereka janji indah Nabi SAW ini:
Allah berfirman: “Tiada ganjaran terbaik di sisiKu selain syurga; bagi orang yang sabar serta mengharapkan ganjaran (Allah) setelah buah hatinya meninggal dunia” (Sahih al-Bukhari, 6424).

-Penulis ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini