PADANG BESAR: Pokok putat kedang yang bunganya dijadikan ulam cukup popular dalam kalangan rakyat Perlis cukup unik kerana spesies tersebut sebenarnya jarang ditemukan di Malaysia namun hanya tumbuh di negeri ini dan sesetengah kawasan di Kedah.
Pokok berkenaan merupakan salah satu spesies tumbuhan indoburma daripada keluarga Lecythidaceae yang banyak ditemukan di sebilangan kecil benua India termasuk Afghanistan serta di negara-negara Indochina.
Satu daripada lokasi pokok berkenaan di negeri ini adalah di Taman Negeri Perlis di Wang Kelian di sini di mana pokok putat kedang tersebut masih berdiri teguh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Perlis Nature Xplorer (PNX), Syamil Abd. Rahman berkata, pokok putat kedang mampu tumbuh setinggi 25 meter dan permulaan kitaran biologi tahunan pokok tersebut bermula pada pertengahan monsun timur laut ketika kemarau sebelum bunganya habis meluruh menandakan fasa peralihan monsun akan tiba.
Katanya, bunga putat kedang sering kali menjadi kegemaran gajah di India dengan kajian mendapati sebanyak 60 peratus biji putat kedang ditemukan di dalam najisnya.
Ujarnya, di India, kelaziman daunnya dijadikan makanan ulat sutera manakala buahnya yang berwarna hijau dijadikan makanan lembu.
“Di Perlis terutamanya bagi penduduk sekitar Wang Kelian, bunganya dijadikan ulam untuk dimakan bersama air asam picit dan mereka menggelarkannya sebagai bunga kedun.
“Setahun sekali penduduk di sini akan mengutip bunga-bunga pokok berkenaan yang luruh bagi dijadikan hidangan sampingan bersama nasi dan lauk-pauk.
“Ia mungkin disebabkan bunganya kelihatan hampir sama dengan spesies putat kedul (Barringtonia Racemosa) yang merupakan nama panggilan lain bagi putat sungai/ayam/kampung,” katanya.
Tambah Syamil, pokok putat kedang merupakan antara pokok yang cukup istimewa bagi Taman Negeri Perlis kerana jarang ditemukan di tempat lain tetapi wujud di sini.
“Malah, tinjauan PNX baru-baru ini mendapati pokok putat kedang tersebut masih berdiri teguh dan menjadi penyeri kepada pengunjung di pusat pelawat Taman Negeri itu terutamanya ketika musim berbunga.
“Ia wajar dijadikan sebagai simbolik kepada Taman Negeri Perlis bagi spesis tumbuhan bercirikan indoburma yang diasingkan melalui garisan pemisah floristik Kangar-Pattani,” katanya. – UTUSAN










