PETALING JAYA: Jentera Pas masih membantu calon-calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di 16 kawasan ditandingi parti itu secara senyap bagi membantu kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengasas Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, beliau melihat sendiri kerjasama Bersatu dan Pas di peringkat akar umbi khususnya di kawasan ditandingi calon Bersatu tanpa sebarang masalah sepanjang seminggu pertama berkempen.
Katanya, masih ada jentera Pas di kawasan-kawasan itu hadir membantu kempen Bersatu, walaupun di peringkat Pusat, Pas mengarahkan jenteranya memfokuskan bantuan ke-11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi calon mereka.
“Jika mengatakan jentera Pas tidak membantu Bersatu di Johor, tidak betul. Memang ada kehadiran mereka walaupun secara senyap berkempen untuk calon Bersatu.
“Kebanyakan mereka sebenarnya keliru dengan pendekatan Pas Pusat yang mengatakan mahu penyatuan ummah tetapi tidak mahu bekerjasama atau membantu Bersatu di Johor.
“Tetapi sepanjang saya di sini, kita melihat memang ada kehadiran jentera Pas yang turut membantu kempen caloncalon kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Redzuan berkata, kerjasama antara Pas dan Bersatu di peringkat akar umbi sangat memberangsangkan dan perlu diteruskan sehingga saat akhir supaya PN dapat menambah jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Kita gembira apabila melihat jentera Pas masih membantu berkempen untuk Bersatu dan kita harap ia mampu diterjemahkan dalam peti undi pada 11 Julai nanti.
“Pada masa sama, kita juga mahu menambah bilangan ADUN-ADUN PN di dewan bagi memperjuangkan nasib rakyat Johor,” katanya.
Mohd. Redzuan berkata, Bersatu juga turut membantu calon Pas di kawasan ditandingi mereka. Pada 26 Jun lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, jentera pilihan rayanya tidak akan membantu calon Bersatu pada PRN Johor selepas membatalkan kerjasama politik dengan parti tersebut.
Kenyataan sama turut dikeluarkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mengatakan, jentera Pas Kawasan dan DUN ditandingi Bersatu di PRN Johor diarah bertugas di DUN ditandingi Pas dan parti komponen PN yang lain.
Pas memutuskan kerjasama politiknya dengan Bersatu secara rasmi pada 8 Jun lalu. Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang dipengerusikan Abdul Hadi.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir.
Pas memberikan alasan ingin meneroka persefahaman politik dan kerjasama demi penyatuan ummah bagi menghadapi PRN dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) serta menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai mereka. – UTUSAN










