Bola sepak Kanada semakin baik 

Bola sepak Kanada semakin baik 

Pemain Kanada berkumpul di padang selepas gagal ke suku akhir apabila tewas 0-3 kepada Maghribi, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Pengendali Kanada, Jesse Marsch mengakui pencapaian anak buahnya mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 bukti bola sepak Kanada berada dalam landasan terbaik meskipun tewas 0-3 kepada Maghribi pada aksi di Stadium Houston, semalam.

Marsch menegaskan, sebelum kejohanan bermula, sasaran sekadar untuk layak ke pusingan kalah mati sudah dianggap realistik dan wajar diraikan, apatah lagi Kanada mencipta sejarah berjaya melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama serta mencatat dua kemenangan.

Katanya, persembahan dipamerkan anak buahnya ketika menentang Maghribi tetap menunjukkan mereka mampu bersaing, meskipun gagal menterjemahkan dominasi permainan kepada jaringan.

“Jika sebelum kejohanan ada yang kata kami akan sampai ke pusingan 16 terbaik, kami pasti sudah berpuas hati,” katanya.

Tambahnya, Kanada menguasai sebahagian besar perlawanan terutama pada babak pertama dan awal separuh masa kedua, namun dihukum menerusi penyudah lebih klinikal lawan.

“Kami menguasai permainan, mencipta peluang dan menunjukkan kualiti, tetapi bola sepak memerlukan penyudah. Hari ini Maghribi lebih berkesan.

“Kesemua 11 pemain kami bermain dengan cemerlang pada separuh masa pertama. Kami sepatutnya mendahului perlawanan.

“Tetapi inilah bezanya di peringkat tertinggi. Adakah kami perlu melakukan kekasaran di situ? Kemudian kami gagal mengawal situasi bola mati sedangkan mereka memiliki kualiti yang tinggi,” katanya.

Jelas Marsch, kejayaan ke peringkat kalah mati ini perlu dijadikan asas kukuh untuk pembangunan bola sepak Kanada, termasuk memperkukuh program akar umbi, akademi serta pembentukan identiti permainan yang lebih konsisten.

“Saya bangga dengan usaha pemain. Cabarannya sekarang ialah memastikan kami mampu mengekalkan tahap ini secara berterusan,” katanya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN