PADANG BESAR: PKR negeri meningkatkan kerjasama dengan rakan-rakan dalam parti kerajaan Perpaduan bagi memastikan perkhidmatan buat rakyat dapat disalurkan dengan sebaiknya.
Dalam masa, rombakan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR di Perlis juga bakal menyaksikan perubahan kecil terhadap portfolio jawatankuasa parti itu selepas ini.
Pengerusinya, Noor Amin Ahmad berkata, portfolio yang bakal dibentuk itu akan disesuaikan dengan keadaan semasa di negeri ini di mana parti tersebut merupakan barisan pembangkang.
Beliau berkata, pihaknya akan menentukan portfolio tersebut menerusi mesyuarat yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat bersama ahli-ahli MPN Perlis.
“Sebagai sebuah parti yang bernaung di bawah kerajaan Perpaduan, PKR perlu meningkatkan kerjasama bagi memastikan perkhidmatan buat rakyat dapat disalurkan dengan sebaiknya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Perlis di Dewan Ibnu Khaldun Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, di sini hari ini.
Minggu lalu, PKR mengumumkan rombakan terhadap MPN di enam negeri berkuatkuasa serta-merta selepas diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 18 Februari lepas.
Penyusunan itu melibatkan pimpinan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Sebelum ini Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi MPN Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, namun kini beliau hanya memberi tumpuan di Pulau Pinang.
PKR melantik Noor Amin sebagai pengerusi parti itu di Perlis manakala Gan Ay Ling dipilih sebagai timbalan pengerusi.
Mengulas mengenai penyerahan watikah itu, Noor Amin berkata, Pakatan Harapan (PH) dan UMNO berjaya menunjukkan kerjasama baik di peringkat akar umbi melibatkan rundingan bagi pelantikan jawatan tersebut.
“Rundingan ini kita lakukan dalam tiga, empat bulan dan banyak pertemuan di peringkat individu mahu pun parti untuk bincangkan mengenai pelantikan ini.
“Akhirnya ia berlangsung dengan lancar berbanding negeri lain yang mempunyai lebih banyak kawasan dan rumit,” katanya.-UTUSAN










