PETALING JAYA: Pihak lain juga boleh mencabar peruntukan jenayah syariah dengan mengikut proses undang-undang yang ditetapkan sekiranya terdapat undang-undang Persekutuan meliputi kesalahan sama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhammad Hisham Marzuki, kes Nik Elin merupakan batu asas dalam cabaran yang boleh dimulakan ke semua negeri lain.
“Setakat ini, Nik Elin tidak akan mencabar peruntukan jenayah syariah negeri lain, tetapi sekiranya pihak lain ingin mencabar, boleh dimulakan mengikut proses undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Beliau diminta mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah baru-baru ini.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, keputusan yang dibuat tidak menjejaskan perundangan Islam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masih kompeten untuk menggubal undang-undang syariah.
“Sekarang ini, apa yang perlu dilakukan oleh DUN ialah melihat semula undang-undang syariah yang sedia ada termasuk yang sudah dibatalkan.
“Dalam pada masa yang sama mereka perlu mencadangkan peruntukan kesalahan syariah yang baharu serta memastikan ia tidak sama dan tidak berlawanan dengan peruntukan dalam undang-undang persekutuan,” jelasnya. – UTUSAN










