SHAH ALAM: Pasukan bomba menemukan dua cebisan daging, kesan darah dan rambut yang menjadi petunjuk kepada penemuan mayat mangsa pesawat terhempas dekat Jalan Benteng Kanan, Kampung Tok Muda di Kapar, Klang, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, penemuan tersebut pada badan pesawat menyebabkan kerja menggali tanah gambut dibuat bagi mengeluarkan sebahagian besar serpihannya yang terbenam.
Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa iaitu Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42 ditemui dalam keadaan baik yang mana kesemua anggota badannya masih sempurna.
“Mayat memang sempurna, cuma ada dua serpihan daging kita temui di lokasi selain kesan darah dan rambut. Ia menjadi petunjuk confident kepada pasukan penyelamat ketika itu bahawa mayat berada di situ sebelum kerja-kerja penggalian dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan dua individu maut dalam insiden pesawat terhempas yang berlaku kira-kira pukul 1.35 tengah hari berdasarkan komunikasi terakhir juruterbang bersama pegawai kawalan trafik udara.
Pesawat model BK160 Gabriel yang dikendalikan Air Adventure Flying Club itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang Skypark) pada pukul 1.28 tengah hari sebelum didapati terhempas dan mengorbankan Daniel Yee dan Roshaan.
Kedua-dua mangsa itu ditemukan dalam kokpit pesawat berkenaan antara pukul 7.06 dan 7.17 petang sebelum di bawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk pengecaman oleh waris dan bedah siasat. – UTUSAN










