Nova tidak panik cari gandingan ke Olimpik

Nova tidak panik cari gandingan ke Olimpik

Chen Tang Jie akan bergandingan dengan Clarissa San selepas Toh Ee Wei mengalami kecederaan- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengakui pelan memburu slot ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) kini memasuki fasa kritikal apabila terpaksa merombak perancangan susulan kecederaan Toh Ee Wei dan penghijrahan Hoo Pang Ron ke arena profesional.

Menurut Nova, tempoh sehingga penghujung tahun ini akan digunakan sepenuhnya untuk mengenal pasti gandingan terbaik yang mampu menjadi sandaran Malaysia apabila kelayakan ke Olimpik bermula pada Mei tahun depan.

“Saya rasa hujung tahun ini kita sudah harus tahu siapa pasangan yang akan pergi Olimpik kerana setakat ini baru ada dua pasangan sahaja, tetapi kita juga tidak menutup mata jika ada pasangan lain yang meningkat banyak.

“Kalau (Chen) Tang Jie dan Clarissa (San) tidak mencapai apa yang kita harapkan selepas empat kejohanan, kita masih ada pilihan lain kerana Tang Jie masih boleh digandingkan dengan pemain lain,” kata Nova kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, semalam.

Tang Jie akan beraksi bersama Clarissa pada Terbuka Jepun, China, Taiwan serta turut dijangka menyertai Korea Masters selepas Ee Wei disahkan mengalami kecederaan koyakan separa ligamen anterior cruciate (ACL), manakala pasangan baharu Jimmy Wong-Cheng Su Yin kekal sebagai sandaran kedua negara.

Nova berkata, gandingan Tang Jie-Clarissa hanya akan dinilai selepas empat kejohanan sebelum sebarang keputusan dibuat kerana fokus utama ketika ini adalah mencari kombinasi paling sesuai bagi memburu mata kelayakan Olimpik.

“Kalau keputusan tidak bagus atau mental mereka belum sampai tahap yang kita mahu, mungkin Clarissa atau pemain lain akan kita cuba kerana di bahagian wanita masih ada beberapa pemain lagi termasuk Noraqilah (Maisarah Ramdan).

“Yang penting sekarang kita cuba dahulu empat kejohanan dengan Clarissa dan selepas itu baru kita tengok sama ada sesuai atau tidak dengan apa yang kita harapkan,” katanya.

Dalam masa sama, Nova turut mengakui kehilangan Pang Ron yang kini bergerak secara profesional menyebabkan pilihan pasangan berpengalaman semakin terhad, sekali gus meletakkan lebih banyak harapan kepada kelompok pemain muda untuk tampil mengisi kekosongan tersebut.

Beliau bagaimanapun menegaskan Malaysia tidak ketandusan bakat, namun pemain pelapis perlu membuktikan karakter sebagai pemain bertaraf dunia kerana aspek itu menjadi penentu utama dalam pembentukan pasangan yang mampu membawa cabaran negara ke LA2028.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN