Jepun belum cukup bagus-Sano

Jepun belum cukup bagus-Sano

Pemain Jepun berkumpul di tengah padang selepas tewas 1-2 kepada Brazil dalam perlawanan Pusingan 32 Terbaik Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Houston, semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Jepun telah memberikan segala-galanya di atas padang, namun ia masih belum cukup untuk menumbangkan juara dunia lima kali, Brazil apabila tewas 1-2 dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Houston, semalam.

Skuad Samurai Biru terlebih dahulu mencipta kejutan menerusi jaringan pemain tengah, Kaishu Sano pada minit ke-29 sebelum Brazil bangkit pada babak kedua menerusi tandukan Casemiro pada minit ke-56.

Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Gabriel Martinelli muncul wira Selecao apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemaraan Brazil ke pusingan 16 terbaik.

Sano mengakui kekalahan tersebut amat sukar diterima, terutama selepas Jepun berjaya memberikan tentangan sengit sehingga memaksa gergasi Amerika Selatan itu bekerja keras sepanjang 90 minit.

“Saya fikir keputusan adalah segala-galanya. Saya sangat kecewa kerana pasukan ini tidak sepatutnya berakhir sebegini. Tetapi tewas dengan cara begini pada saat-saat akhir membuatkan saya rasa kami masih belum cukup bagus.

“Bagaimanapun, apa yang kami lakukan selama ini tidak salah dan saya percaya kami boleh berbangga dengan apa yang telah dibina pasukan ini,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Jepun gagal menyamai pencapaian terbaik mereka mara ke pusingan 16 terakhir yang pernah dicapai pada edisi 2002, 2010, 2018 dan 2022, sekali gus menamatkan perjalanan mereka pada penampilan kelapan di pentas Piala Dunia.

Bagi Brazil, kemenangan tersebut melayakkan mereka ke pusingan seterusnya untuk berdepan pemenang antara Ivory Coast dan Norway.

Selecao turut mencatat sejarah apabila jaringan Martinelli direkodkan sebagai gol kemenangan paling lewat dalam masa sebenar permainan bagi aksi kalah mati Piala Dunia sejak rekod dikumpulkan oleh Opta pada 1966.

Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti, mengakui pasukannya berdepan cabaran sukar, namun memuji kekuatan dan kedalaman skuad yang dimiliki sehingga membolehkan Selecao mengharungi tekanan tinggi dalam aksi kalah mati.

“Kami mempunyai banyak pilihan sama ada di bangku simpanan atau di atas padang. Jepun bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan. Mereka sangat berorganisasi dan bermain dengan intensiti tinggi.

“Hakikat bahawa kami berjaya memperoleh kemenangan adalah sesuatu yang amat penting,” ujarnya.

Kemenangan itu sekali lagi mengukuhkan status Brazil sebagai antara calon utama untuk menjulang trofi Piala Dunia 2026.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN