Peluang terakhir generasi emas Belgium

Peluang terakhir generasi emas Belgium

BELGIUM mengharapkan kreativiti Kevin De Bruyne ketika berdepan Senegal, esok.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEATTLE: Piala Dunia 2026 menjadi peluang terakhir buat generasi emas Belgium untuk memburu kejuaraan apabila berdepan Senegal pada pusingan 32 terbaik di Seattle, esok.

Meskipun beberapa tonggak seperti Jan Vertonghen, Thomas Vermaelen, Eden Hazard dan Dries Mertens sudah meninggalkan skuad kebangsaan, Belgium masih mempertaruhkan pemain berpengalaman seperti penjaga gol Thibaut Courtois, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku.

Selepas menamatkan saingan Kumpulan G di tangga teratas dengan lima mata, Belgium bangkit penuh bergaya menerusi kemenangan 5-1 ke atas New Zealand dalam aksi terakhir kumpulan, sekali gus meningkatkan keyakinan menjelang pusingan kalah mati.

Prestasi itu turut menyaksikan Belgium muncul pasukan paling agresif di peringkat kumpulan apabila merekodkan 73 percubaan tepat ke arah gol.

Bagi pemain tengah Belgium, Amadou Onana, pertemuan dengan Senegal membawa makna yang cukup peribadi kerana negara Afrika itu merupakan tanah kelahirannya.

“Sebelum undian saya berharap kami tidak diundi menentang Senegal. Saya lebih rela bertemu Perancis.Tetapi kini, ia menjadi kenyataan dan sudah tentu aksi ini amat istimewa buat saya.

“Saya membesar dengan menonton semua perlawanan Senegal di televisyen. Ramai rakan dan bekas rakan sepasukan saya turut bermain untuk mereka, walaupun saya tidak pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan Senegal,” katanya.

Onana beraksi ketika menentang Mesir sebelum dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Belgium membelasah New Zealand dan dijangka diberi peluang berdepan negara kelahirannya.

Senegal pula mara ke pusingan 32 terbaik sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik selepas tewas dalam dua aksi awal Kumpulan I kepada Perancis dan Norway.

Jurulatih Senegal, Pape Thiaw mengakui pasukannya masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki walaupun berjaya melangkah ke peringkat kalah mati.

“Walaupun kami menjaringkan lima gol, masih banyak aspek permainan yang perlu dipertingkatkan,” katanya.

Antara dilema terbesar Thiaw ialah sama ada mahu mengembalikan pertahanan berpengalaman, Kalidou Koulibaly, ke dalam kesebelasan utama selepas pemain berusia 35 tahun itu digugurkan susulan beberapa kesilapan dalam dua perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Pengalaman Koulibaly amat diperlukan Senegal, namun persoalan sama ada beliau masih mampu menggalas tanggungjawab di pentas tertinggi itu bakal menjadi pertaruhan besar buat Thiaw.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN