IRVINE: Kapten Amerika Syarikat (AS), Tim Ream memberi amaran supaya rakan sepasukannya tidak memandang mudah cabaran Bosnia dan Herzegovina meskipun lawan mereka itu dianggap antara pasukan paling lemah yang masih kekal di Piala Dunia 2026.
Ream berkata, Bosnia layak ke pusingan 32 terbaik bukan kerana nasib semata-mata, sebaliknya membuktikan kemampuan sebenar apabila mengejutkan juara empat kali dunia, Itali pada aksi playoff Zon Eropah sebelum mara ke kejohanan itu.
“Kami tahu mereka adalah pasukan yang kuat, memiliki kekuatan fizikal dan berjaya melepasi saingan kumpulan atas sebab tertentu.
“Ia bukan satu kebetulan apabila mereka berjaya menyingkirkan Itali dalam playoff dan layak ke Piala Dunia, jadi kami perlu memberikan perhatian penuh dalam setiap aspek serta setiap detik permainan,” katanya.
AS hadir dengan reputasi selaku antara pasukan pilihan selepas mencatat kemenangan meyakinkan ke atas Paraguay dan Australia sebelum menamatkan saingan Kumpulan A sebagai juara walaupun tewas kepada Turkiye dalam aksi terakhir.
Namun, Bosnia juga tidak boleh dipandang ringan apabila melangkah ke pusingan kalah mati selepas menamatkan saingan Kumpulan B di tempat ketiga hasil keputusan seri menentang Kanada dan kemenangan ke atas Qatar.
“Situasi bola mati pasti memainkan peranan penting, tetapi saya tidak fikir mereka hanya akan bertahan sepanjang perlawanan.
“Mereka berada dalam kejohanan ini kerana satu sebab, berjaya mengharungi laluan yang sukar untuk sampai ke sini dan pada akhirnya mereka adalah pasukan yang benar-benar kuat,” ujar Ream.
AS kini memburu kemenangan kedua dalam sejarah aksi kalah mati Piala Dunia selepas kali terakhir melakukannya dengan menewaskan Mexico 2-0 pada edisi 2002, namun Bosnia berazam mencipta satu lagi kejutan bagi meneruskan kemaraan bersejarah mereka di bumi Amerika Utara. – AGENSI










