KLANG: “Pesawat itu dilihat seperti hilang kawalan dan terjunam dengan bunyi dentuman kuat.”
Demikian kata Jinaidi Nasiran, 55, yang mendakwa menyaksikan insiden sebuah pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, semalam.
Dakwa penyelia kilang itu, ketika kejadian dia sedang menukar tayar kereta di hadapan rumahnya yang terletak berdekatan lokasi tersebut, kira-kira pukul 1.30 petang.
“Saya kemudian pergi memeriksa dan mendapati pesawat itu sudah terjunam ke tanah kebun berkenaan. Pada waktu itu, saya cuba mencari mangsa namun tidak menemukannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Tambahnya, kejadian yang berlaku kira-kira 50 meter dari rumahnya itu kali pertama berlaku di kampung berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi saksi insiden berkenaan, Mustakim Said, 56, memberitahu, dia mendengar dan melihat kejadian letupan sebanyak dua kali ketika azan zuhur sedang berkumandang tidak jauh dari lokasi berkenaan.
Menurutnya, dentuman tersebut turut menyebabkan kebanyakan penduduk terkejut sebelum melihat serpihan pesawat terbabit bertaburan dan salah satunya terjunam ke dalam kawasan ladang kelapa sawit.
“Memang nampak ekor pesawat itu didapati meletup sebanyak dua kali.
“Serpihan pesawat itu kemudiannya bertaburan dengan salah satunya menjunam di kawasan kebun kelapa sawit,” ujarnya. – UTUSAN










