Air pasang besar: 17 kawasan di Klang berisiko banjir hari ini

Air pasang besar: 17 kawasan di Klang berisiko banjir hari ini

AMRI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebanyak 17 kawasan terutama di sekitar Pelabuhan Klang dijangka mengalami fenomena air laut pasang besar pada ketinggian sehingga 5.7 meter pada hari ini dan Khamis sekitar pukul 6.30 pagi.

Fenomena tersebut dijangka menyebabkan jalan-jalan utama sekitar kawasan tersebut seperti Telok Gong, Pandamaran, Pulau Indah, Pekan Pelabuhan Klang dan Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara (NNKSB) berhampiran Kampung Rantau Panjang dan Bandar Sultan Sulaiman dinaiki air.

Pegawai Daerah Klang, Amri Ismail berkata, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa bagi mengelak daripada kejadian yang tidak diingini.

“Air pasang besar diramalkan pada aras 5.7 meter pukul 6.34 pagi. Di Klang, sebanyak 17 lokasi berisiko untuk berlaku limpahan air pasang besar dan banjir pantai sekiranya aras air pasang tinggi diikuti angin dan ombak yang kuat.

“Berdasarkan ramalan hujan yang dikeluarkan oleh Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dijangkakan akan berlaku kejadian ribut petir di beberapa tempat di daerah Klang pada sebelah pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko seperti Klang Utara melibatkan Kampung Tok Muda, Kampung Sungai Serdang, Kampung Perepat, Kampung Sementa, Kampung Batu 4 dan Jalan Harper.

Di Klang Selatan pula termasuk kawasan di Pelabuhan Klang seperti Taman Kem, Terminal Jeti Pulau Ketam, Taman Teluk Gedung Indah, Taman Selat Damai dan Kawasan Perindustrian Pandamaran.

Turut termasuk dalam senarai kawasan berisiko adalah di Pulau Indah seperti Kampung Sungai Kembong dan Kampung Sungai Pindah, sementara Telok Gong yang terletak bersebelahan Pulau Indah juga dijangka terjejas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail memberitahu, pihaknya membuat pemantauan di kawasan berisiko terutama di pantai dan kuala.

“Berdasarkan jadual air pasang surut daripada Jabatan Laut, ia bermula pada semalam sehingga khamis yang mana paras tertinggi adalah pada hari ini kira-kira pukul 6 pagi.

“Justeru, JBPM Selangor sudah pun meyenggara 85 bot bagi menangani sebarang kemungkinan banjir di negeri ini (termasuk kegunaan bagi peralihan Monsun Timur Laut). Penduduk boleh terus menghubungi 999 talian kecemasan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN