“TAK payahlah berlakon dan menyanyi, hujung nanti kau pulang ke kampung juga.”
Itu pandangan sinis yang pernah diterima Razzuan Rosli ketika pelakon dan penyanyi ini mula-mula menceburkan diri dalam dunia seni tanah air satu masa lalu.
Meskipun pedas, Razzuan tidak sekali-kali membenarkan kata-kata itu memadam semangatnya untuk mengejar impian dan cita-cita.
Muncullah seribu manusia yang berkata perkara yang sama sekalipun, Razzuan tetap memandang ke hadapan menuju matlamatnya untuk bersinar baik menjadi pelakon atau penyanyi.
“Yang berkata itu bukan orang asing, tetapi yang dekat dengan saya. Tapi saya tak adalah ambil serius, sedikit pun kata-katanya tidak menjatuhkan semangat saya pada ketika itu.
“Saya tidak dilahirkan dengan rupa paras yang kacak serta bakat lakonan dan nyanyian semula jadi. Saya sedar perkara itu. Jujur saya katakan, bakat lakonan dan nyanyian yang saya ada pun tidaklah seberapa.
“Tetapi saya ada kebolehan itu. Cuma tinggal lagi untuk saya asah dan tajamkan. Saya tahu apa yang saya mahukan. Kalau nak jadi penyanyi dan pelakon yang berjaya saya kena berusaha, mungkin kena bekerja lebih keras,” katanya ketika mempromosikan single terbarunya, Cinta Kayangan di Universal Music Malaysia baru-baru ini.
Bercakap tentang single tersebut, Razzuan mengakui ia sebuah naskhah yang menunjukkan sisi kematangannya sebagai penyanyi selepas dua single terdahulu, Aku Fighter dan Akur.
Katanya, single tersebut ‘menjadi’ disebabkan jalan ceritanya yang diinspirasikan pengalamannya sendiri yang berdepan kekecewaan akibat melepaskan seseorang yang disayanginya demi kebahagiaan individu tersebut. “Mesej lagu ini mendalam maksudnya.
Ia ibarat memberitahu yang kita tak semestinya akan bersama dengan orang yang kita cinta dan sayang. Ada masa, kita kena lepaskan dia demi kebahagiaan orang tersebut.
“Saya berikan yang terbaik untuk single ini, seperti juga lagu-lagu saya sebelum ini. Saya sedar kemampuan nyanyian saya tidak hebat seperti penyanyi lain.
Kerana itulah saya berguru dengan Mark Adam dan Sha zawati Sharif atau Cikgu Sha untuk menjadi penyanyi yang berkebolehan,” jelasnya.
GANGGUAN SEKSUAL
Berkongsi pengalaman, Razzuan tidak mena kan sebelum ini dia pernah menjadi mangsa gangguan seksual di set penggambaran.
Katanya, pengalaman tersebut telah mematangkan dia untuk tidak membiarkan perkara sedemikian berulang.
“Saya pernah diraba dan pelaku terdiri daripada lelaki serta perempuan. Dulu saya tak matang, anggap tindakan itu satu gurauan sebab ia tidaklah melampau atau agresif.
“Di media sosial pun ada yang cuba-cuba menawarkan saya menjadi ‘peneman’ dengan bayaran yang lumayan. Tapi saya tidaklah melayan.
“Sekarang, saya sudah pandai menolak dengan cara baik bagi sebarang cubaan sebegini. Kalau boleh dalam apa juga keadaan, saya tak mahu bersikap biadab.
“Sepanjang jadi pelakon, saya belajar banyak perkara. Termasuklah cara hindari gangguan seksual yang kita hadapi di tempat kerja atau menerusi media sosial. Kena banyak bertanya supaya lebih tahu selok belok,” kongsi bekas peserta Drama Festival Kuala Lumpur ini.










