KUALA LUMPUR: Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh dibenar ke Amerika Syarikat (AS) dan Jerman atas urusan perniagaan selepas Mahkamah Sesyen di sini, mengembalikan sementara pasportnya yang ditahan atas pertuduhan rasuah.
Hakim Suzana Hussin membenarkan pasportnya yang sebelum ini disimpan oleh mahkamah sebagai syarat jaminan, dipulangkan bermula hari ini sehingga 21 Mac.
Terdahulu, peguam Weera Premananda yang mewakili Abdul Hamid berhujah, anak guamnya perlu ke AS bagi mengikuti lawatan kerja penempatan operasi sistem perintah dan kawal bermula 23 Februari hingga 1 Mac ini.
Ujarnya selain itu, anak guamnya perlu menghadiri lawatan kerja di Berlin selaku pempamer bersama pada pameran anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) bermula 5 Mac hingga 7 Mac.
“Kami memohon kebenaran pelepasan pasport sementara untuk ke AS dan Berlin. Anak guam sentiasa mematuhi terma-terma permohonan bagi syarat jaminan yang ditetapkan sebelum ini,” ujar peguam.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi tidak membantah permohonan tersebut.
Pada 5 April 2023, Abdul Hamid, 49, didakwa menawarkan suapan berjumlah RM7.5 juta melalui Datuk Tan Ser Lay, 61, berhubung proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat itu.
Menurut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun untuk tempoh 15 tahun itu yang didakwa bagi faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa sebagai dorongan mempercepatkan proses berkenaan.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022. – UTUSAN










