KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua hadir di Bukit Aman, di sini untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Beliau tiba di pekarangan Bukit Aman pada pukul 12.51 tengah hari dan bertemu dengan kira-kira 30 pengamal media yang menunggu sejak pukul 12 tengah hari.
Turut hadir di lokasi bagi memberi sokongan adalah Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, dan ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei.
Beliau seterusnya ditemani peguam, Haijan Omar masuk ke Bukit Aman kira-kira pukul 1.13 petang.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Tony yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kenyataannya yang dimuat naik di Facebook.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN










