Pembangunan tergendala jika penjawat awam malas

Pembangunan tergendala jika penjawat awam malas, lalai – Sultan Selangor

Batuan mineral
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan pembukaan Penggal Kedua Sidang Dewan Negeri Selangor Ke-15 dekat Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya tidak bersikap malas dan lalai sehingga mengakibatkan banyak projek pembangunan dirancang tergendala atau berdepan masalah.

Baginda bertitah, sekiranya sikap itu berterusan dan menjadi kebiasaan, rakyat Selangor dibimbangi akan terus menanggung masalah disebabkan sikap tersebut.

“Seperti contoh, projek tebatan banjir dan juga projek baik pulih kemudahan rakyat yang masih gagal dilaksanakan dengan segera,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-15, semalam.

Malah, baginda juga mahu kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan dalam urusan kerajaan dikurangkan sementara penjawat awam pula perlu mempunyai sense of urgency (bertindak dengan segera) dalam memastikan perkhidmatan disampaikan dengan pantas dan sempurna.

“Beta akan terus memantau dan memerhati tindak-tanduk para penjawat awam dan kualiti perkhidmatan awam di negeri Selangor ini selaras dengan moto ‘Pertahan dan Setia Kepada Agama Islam’ dan ‘Berkhidmat Kepada Rakyat dan Negara’.

“Beta mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan-jabatan yang yang memberikan perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan lain-lain memastikan baik pulih harta awam diselenggara dengan baik,” tegas baginda.

Sementara itu Sultan Sharafuddin turut menitahkan kerajaan negeri membuat persediaan bagi menghadapi cabaran perubahan meskipun negeri ini mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi.

Baginda bertitah, Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang diperkenalkan kerajaan negeri pada dua tahun lalu diyakini dapat memastikan keselamatan dan jaminan bekalan air mentah kepada seluruh pengguna.

Bagaimanapun, baginda tetap menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kesedaran orang ramai supaya berhemah dalam menggunakan air apabila kadar penggunaan domestik dilaporkan sebanyak 215 liter seorang sehari.

“Beta menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menggunakan air harian secara cermat dan berhemah bagi menyumbang kepada peningkatan simpanan air semasa,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN