Pembangkang yang bersungguh-sungguh mahu awalkan PRN

Pembangkang yang bersungguh-sungguh mahu awalkan PRN-GRS

JONISTON Bangkuai (berdiri-kiri) bersama Christina Liew (berdiri-kanan) semasa majlis makan tengah hari bersama media di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak melihat ada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal berbanding tempoh sepatutnya pada Oktober 2025.

Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai kira-kira dua tahun lagi untuk memerintah jadi, tempoh itu akan digunakan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri serta menyelesaikan isu-isu rakyat seperti bekalan air dan elektrik.

“Kita masih ada setahun sembilan bulan, masih ada masa lagi untuk kita buat apa yang telah dirancang.

“Jika pilihan raya diawalkan bagaimana kita mahu menyelesaikan masalah yang sudah berlanjutan sejak sekian lama itu,” katanya selepas majlis makan tengah hari bersama media, semalam.

Beliau, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata, tiada alasan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal. Biarpun Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan untuk bersedia namun, masih ada masa kira-kira setahun lebih lagi.

Pada masa ini, pihak yang bersungguh-sungguh mahukan pilihan raya diawalkan adalah pembangkang. Sekarang sana sini pembangkang menabur fitnah seolah-olah memberi bayangan sudah hampir pilihan raya.

“Ketua Menteri sering menyatakan kita teruskan bekerja, memang pilihan raya akan diadakan tapi tidak tahu bila. Apa yang pasti Oktober tahun depan memang akan ada pilihan raya.

“Persoalannya, apa alasan untuk kita adakan pilihan raya tahun ini? Yang di-Pertuan Agong sebelum ini pun telah berikan nasihat, kalau mahu berpolitik tunggulah lima tahun lagi.

“Tempoh lima tahun (untuk GRS) belum habis lagi jadi kenapa mesti kita cakap pasal politik. Kita mahu fokus kepada pembangunan.

“Banyak isu seperti air dan elektrik dari dulu tidak selesai. Setidak-tidaknya kerajaan sekarang cuba menyelesaikan masalah ini jadi, bagilah kita masa. Kalau mahu adakan pilihan raya macam mana mahu selesai,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan sentimen di peringkat akar umbi, sokongan terhadap GRS memang kuat.

“Kita menyatakan kita kuat bukan semata-mata cakap sahaja. Ketua Menteri selalu cakap, apa sahaja kita buat jangan hanya sekadar mendengar tapi, kita lihat dan rasai.

“Kerajaan sekarang fokus supaya rakyat boleh lihat dan rasai apa perubahan yang kita boleh lakukan di Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN