Op Sohor: 4 pegawai kanan ATM akan didakwa

Op Sohor: 4 pegawai kanan ATM akan didakwa

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dituduh di mahkamah susulan pembongkaran sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut menerusi Op Sohor.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan sudah disiapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di mana keputusannya empat daripada pegawai kanan berkenaan dipersetujui TPR untuk dituduh di mahkamah.

“Seorang lagi akan dikemukakan laporan tatatertib kepada pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk diambil tindakan tatatertib ataupun diambil tindakan lain seperti mahkamah tentera dan sebagainya.

“Enam orang awam berkenaan masih lagi dalam penelitian TPR sama ada mereka boleh dituduh ataupun tidak,” katanya dalam sidang akbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Azam berkata, dalam kes membabitkan Op Sohor seramai 11 tangkapan dijalankan membabitkan lima pegawai kanan tentera dan enam orang awam.

Katanya, terdapat perbincangan di antara SPRM dan Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenai isu-isu kebocoran maklumat keselamatan.

“Sebarang isu kebocoran maklumat, isu keselamatan itu adalah prerogatif kami yang saya tak boleh nyatakan tetapi memang kami ada menjalankan perbincangan dengan pihak ATM dan pihak Menteri juga memberi kerjasama yang baik dalam hal ini.

“Selain itu, perkara ini perlu diambil tindakan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk memastikan pada masa-masa akan datang tidak lagi berlaku kebocoran ini,” jelasnya.

Sebelum ini, satu sindiket penyeludupan barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain didalangi oleh pegawai-pegawai kanan ATM terbongkar selepas sepuluh individu termasuk lima pegawai kanan tentera ditahan SPRM.

Penahanan kesemua individu termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun telah dilakukan di sekitar Lembah Klang sejak operasi Op Sohor dilancarkan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Sindiket yang beroperasi di selatan tanah air telah dianggotai pegawai-pegawai kanan daripada bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota ATM daripada bahagian yang sama.

Mereka telah ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, namun mereka dipercayai telah bersekongkol dengan sindiket penyeludupan tersebut sejak lima tahun yang lalu dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta.

Katanya, siasatan awal mendapati lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia.

Kesemua barangan itu membabitkan jumlah nilai sebanyak kira-kira RM5 juta sebulan.

Suspek-suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN