KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu laporan bedah penuh siasat kedua membabitkan Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, bagi bedah siasatan dijalankan terhadap pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor itu yang meninggal dunia pada 28 Julai.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, beliau meletakkan kepercayaan tinggi terhadap kredibiliti pihak hospital dan enggan mendahului mana-mana pihak.
“Kita masih lagi menunggu (keputusan bedah siasat) daripada pihak hospital. Memandangkan ada dua tindakan bedah siasatan yang dibuat oleh hospital di Kuala Lumpur dan juga di Johor Bahru.
“Itu bergantung. Kita cuma mendengar hearsay (dakwaan) tetapi kita masih menunggu keputusan bertulis. Itu yang terbaik jadi saya tidak mahu mendahului mana-mana pihak,” katanya selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Polis ke-218 di Bukit Aman, di sini hari ini.
Beliau turut menyeru semua rakyat Malaysia supaya terbuka untuk menerima apa juga keputusan bedah siasat tersebut.
“Saya percaya kesemuanya akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh disiplin dan juga integriti,” katanya.
Bedah siasat kedua ke atas Syamsul Haris dilakukan pada hujung Ogos lalu selepas mahkamah membenarkan permohonan keluarga untuk menggali semula jenazah.
Proses itu dijalankan di Hospital Kuala Lumpur dengan kehadiran beberapa pakar forensik termasuk wakil keluarga.
Laporan bedah siasat berhubung kematian Syamsul Haris, 22, dijangka diketahui dalam tempoh tiga bulan.
Perkara itu disahkan peguam keluarga Allahyarham, Datuk Naran Singh, selepas bedah siasat kedua dijalankan, baru-baru ini.
Pada 19 Ogos lalu, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
Sebelum ini, laporan awal bedah siasat menemukan beberapa kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa, dan keluarga menuntut supaya inkues diadakan sekiranya perlu untuk merungkai punca sebenar kematian. – UTUSAN









