KUALA LUMPUR: Aspirasi negara ke arah bandar pintar akan dilaksanakan secara menyeluruh bagi merapatkan jurang pembangunan antara negeri dan memastikan tiada pihak dipinggirkan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, setakat ini, sebanyak 36 daripada 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara sedang melaksanakan inisiatif transformasi ke arah bandar pintar.
Katanya, walaupun perbezaan pembangunan tidak dapat dinafikan, namun usaha ke arah bandar pintar mesti digerakkan secara inklusif di bawah bimbingan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
“Kuala Lumpur memang penting, begitu juga Kuching, Ipoh, Taiping dan bandar-bandar lain kerana kita memerlukan jaringan yang seimbang.
“Sudah tentunya ada majlis daerah, majlis perbandaran dan bandar raya dengan tahap pembangunan berbeza, tetapi kita tidak boleh pinggirkan mana-mana pihak. Prinsip kita jelas, tiada yang terpinggir, tiada yang tertinggal.
“Oleh itu, kita ada satu pelan komprehensif yang bermula dengan bandar pintar perintis, kemudian berkembang menjadi bandar pintar yang sedang membangun dan akhirnya mencapai status bandar pintar sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perasmian Mesyuarat Tahunan Kelapan ASEAN Smart Cities Network (ASCN8), hari ini.
Dalam pada itu, kata Kor Ming, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang bekerjasama dengan Jawatankuasa Kabinet mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) untuk menaik taraf perhentian bas termasuk laluan pejalan kaki di sekitarnya.
Katanya, perhentian bas akan dilengkapi tiang pintar (smart pole) yang berfungsi sebagai hab telekomunikasi, selain skrin LED yang menyediakan paparan maklumat perjalanan bas serta informasi terkini.
“Saya membayangkan menjelang 2027, jika projek itu dapat disiapkan sepenuhnya, perhentian bas tersebut juga akan dilengkapi dengan smart pole.
“Di dalam perhentian bas itu juga akan disediakan paparan informasi kerana kebanyakannya akan dilengkapi dengan skrin LED, supaya orang yang menunggu bas dapat melihat maklumat terkini daripada skrin tersebut dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










