Pelakon cilik akui tak pernah terima caruman KWSP

Pelakon cilik akui tak pernah terima caruman KWSP

Puteri Qaseh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon remaja, Putri Qaseh, mengakui tidak pernah menerima sebarang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada pihak produksi sepanjang bergelar pelakon.

Puteri Qaseh atau Putri Syahadah Nurqaseh Izwandy, 15, berkata, caruman berkenaan penting bagi pelakon sepertinya apatah lagi pekerjaan seperti itu tidak selamanya menjamin pendapatan.

“Bagi saya, caruman KWSP hasil daripada setiap penggambaran oleh pihak produksi penting sebagai simpanan hari tua.

“Lagi pula ia sebagai persediaan kerana langit tidak selalu cerah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia,semalam.

Bersetuju dengan pandangan itu ialah pelakon Putri Jannah, 20, yang tidak pernah ditawarkan caruman KWSP oleh pihak produksi.

“Sepanjang bergelar pelakon, saya memang berharap agar nasib penggiat seni dinaik taraf sebab ramai berpendapat golongan artis tiada simpanan.

“Jadi caruman KWSP adalah jalan yang terbaik untuk hari muka.

“Saya ada bertanya tentang perkara ini kepada persatuan SENIMAN, namun mereka cadangkan untuk carum sendiri kerana prosedur produksi yang sukar,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 97.78 peratus syarikat penerbitan filem, drama dan seni tidak mencarum KWSP bagi pelakon kanak-kanak dan orang muda.

Hasil dapatan kajian oleh Jabatan Perangkaan itu juga menunjukkan sebanyak 73.1 peratus syarikat produksi tidak mengetahui mengenai keperluan mendapatkan lesen hiburan awam sebelum menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda.

Kebanyakan syarikat produksi melihat caruman ini tidak penting kerana pelakon kanak-kanak dan orang muda bukan sebagai pencari nafkah keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×