PENGUMUMAN cadangan kerajaan untuk mengenakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus kepada pekerja asing yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 3 Februari 2025 dan ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024 telah menimbulkan idea baharu sumber pendapatan kepada negara serta maklum balas masyarakat untuk memberi pendapat mengenai cadangan semasa dasar kerajaan untuk mewajibkan caruman ke atas pekerja asing yang bekerja di Malaysia.
Secara umumnya, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin pada 14 Mei 2024 menjelaskan terdapat 3.4 juta warga asing di Malaysia.
Jumlah ini dianggarkan lebih tinggi dengan membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk ke Malaysia sama ada bekerja secara sah atau secara haram atau menduduki secara haram di Malaysia.
Isu kelompok yang perlu dikenakan cukai yang kerajaan terlepas pandang
Bayangkan berapakah jumlah pengaliran wang keluar dari Malaysia ke Thailand. Senario ini turut membabitkan pelbagai negara seperti Bangladesh, Indonesia, Nepal, Myanmar, India, Pakistan, Filipina, Arab, China dan sebagainya yang membuka perniagaan di Malaysia.
Warga asing ini jelas menjalankan perniagaan di Malaysia dengan bebas, mudah dan menjana kekayaan yang besar. Pastinya ia akan membawa kepada pengaliran wang keluar yang besar dari Malaysia setiap tahun.
Persoalannya, adakah rakyat Malaysia yang membuka perniagaan di Indonesia, Thailand, Myanmar, China dan sebagainya akan mendapat kebebasan, layanan dan kemudahan seperti rakyat mereka menjalankan perniagaan di Malaysia?
Sebagai contoh, berdasarkan pengalaman syarikat besar atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia yang membuka ladang kelapa sawit di Indonesia, mereka terpaksa patuh kepada ketetapan rasmi seperti cukai dan pelbagai syarat yang dikenakan oleh kerajaan dan dalam masa yang sama terpaksa menuruti “syarat” atau tuntutan rakyat setempat seperti kutipan derma, pemberian dana kepada majlis-majlis tempatan yang kerap, “mewajibkan” syarikat membantu rakyat tempatan sekiranya menghadapi masalah khususnya kewangan, pendidikan, mematuhi budaya dan adat tempatan, perlu menyediakan kemudahan seperti jalan, pangkalan, sistem pengangkutan kepada rakyat tempatan dan sebagainya.
Ini kerana sentimen rakyat tempatan di sana adalah syarikat asing adalah syarikat yang datang mengaut keuntungan atau eksploitasi sumber negara mereka, maka syarikat ini perlu mematuhi tuntutan rakyat tempatan.
Pengalaman ini adalah pengalaman biasa dan terpaksa dilalui oleh majoriti syarikat Malaysia yang membuat pelaburan di Indonesia khususnya sektor perladangan kelapa sawit.
Dalam konteks Malaysia dengan memberikan layanan yang baik, kemudahan dan kebebasan, Malaysia menjadi destinasi perniagaan kepada warga asing dan semua masyarakat dapat melihat kegiatan perluasan perniagaan warga asing ini bukan lagi perkara “rahsia” sebaliknya kita dapat melihat dengan jelas dan luas di Kuala Lumpur, bandar-bandar utama negeri dan termasuk di pekan kecil di pelbagai negeri.
Justeru, adakah adil kepada rakyat dan kerajaan Malaysia yang memberikan kemudahan, layanan yang baik serta kebebasan ini kepada warga asing tanpa adanya tuntutan dari masyarakat terhadap syarikat asing dan kesan negatifnya adalah Malaysia kehilangan jumlah pengaliran wang keluar dari Malaysia yang besar setiap tahun?
Dalam konteks ini, cadangan kerajaan untuk mewajibkan majikan dan pekerja asing mencarumkan KWSP sebanyak dua peratus adalah perlu dilakukan agar ia memberikan kebaikan kepada negara, sejajar dengan kemudahan, kekayaan serta kebebasan penuh yang diberikan kepada mereka selama ini yang berjaya mengaut keuntungan yang besar hasil dari duit masyarakat Malaysia yang membeli.
Menurut data, sehingga 31 Disember 2024, keseluruhan penduduk bekerja di Malaysia adalah berjumlah 16,779,500 orang termasuk 2,368,422 orang atau 14 peratus merupakan pekerja asing.
Sehingga 30 September 2024, jumlah pekerja Bangladesh yang berdaftar mencatatkan berjumlah 934,542 orang dengan tumpuan dalam sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan.
Indonesia mencatatkan 595,811 orang dan tertumpu dalam sektor pembinaan, perladangan dan pembantu sektor domestik (pembantu rumah) serta pertanian. Nepal mencatatkan seramai 399,514 orang pula tertumpu sektor perkilangan dan perkhidmatan.
Untuk pengetahuan umum, cadangan kerajaan untuk mengenakan sebanyak dua peratus caruman KWSP ini dianggarkan akan menjana RM 7 bilion setahun dan jumlah ini hanya membabitkan sektor profesional, mahir, separa mahir dan buruh semata-mata.
Kumpulan warga asing yang terlepas pandang oleh kerajaan
Bagaimana dengan sektor perniagaan yang dijalankan oleh warga asing yang setiap tahun RM34 bilion pengaliran yang keluar dari negara hasil dari perniagaan dalam negara?
Para warga asing yang membuka perniagaan tidak dibabitkan dalam caruman KWSP.
Warga asing yang membuka kedai makan, menjual permaidani, tukaran asing, sayuran, pertanian, perladangan, pembinaan, automotif, perkilangan, perkhidmatan, kedai basuh kereta, aksesori, barangan, kedai runcit dan sebagainya.
Adakah warga asing yang selama ini mengaut keuntungan dari Malaysia ini telah dikenakan cukai pendapatan?
Adakah mereka dikenakan cukai perniagaan dan cukai-cukai lain seperti mana rakyat Malaysia membayar cukai yang ditetapkan oleh kerajaan? Sistem cukai seperti “cukai perniagaan warga asing”, cukai pendapatan dan cukai lain untuk warga asing perlu dikenakan ke atas warga asing agar ia tidak dilihat oleh rakyat Malaysia dianaktirikan oleh kerajaan dengan dikenakan cukai pendapatan dan cukai-cukai lain.
Perniagaan warga asing ini adalah kelompok “kelabu” (gray) yang terlepas pandang oleh kerajaan dan perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan yang dapat memberikan pulangan yang besar kepada kerajaan agar dapat menjana kewangan negara dengan lebih besar serta ia lebih adil kepada rakyat tempatan yang menjalankan perniagaan di bumi sendiri.
Justeru, cadangan untuk mengenakan caruman dua peratus oleh kerajaan terhadap warga asing adalah wajar dilaksanakan malah perlu lebih tinggi agar ia dapat memastikan pihak majikan dapat menjaga kebajikan pekerja mereka sendiri.
Ia juga dapat memberikan kesan yang baik kepada pekerja asing, majikan dan kerajaan.
Manakala pihak kerajaan juga perlu memberikan perhatian kepada kumpulan warga asing yang menjalankan perniagaan di Malaysia yang mengaut keuntungan dan diberikan layanan dengan bebas agar dikenakan cukai yang dapat meningkatkan pendapatan negara sejajar dengan pengaliran wang keluar daripada Malaysia. – UTUSAN
DATUK Mohd. Nasir Saari ialah pelajar Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Strategik Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ketua Makmal Penyelidikan Ukur Bahan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE).










