Pegawai Maritim Malaysia didakwa 12 kes rasuah

Pegawai Maritim Malaysia didakwa 12 kes rasuah

MOHD. Fazli Azizan menghadapi 12 pertuduhan rasuah keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar di Kompleks Mahkamah Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 12 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3,900 daripada seorang pemilik bot, enam tahun lepas.

Tertuduh, Mohd. Fazli Azizan, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Fazli yang memegang jawatan Laskar Kanan Maritim didakwa menerima wang tunai antara RM100 hingga RM600 daripada Tan Kok Seng melalui 12 transaksi dalam talian berasingan antara 5 Julai hingga 2 Disember 2018.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Taufik Awaludin dan Mohd. Syahzada Sanusi mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda.

Peguam Mohd. Fazli, Syed Naqiuddin Shahab terdahulu memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan sebanyak RM5,000 yang dipohon oleh pihak pendakwaan atas alasan tertuduh hanya mempunyai pendapatan bersih bulanan sebanyak RM1,600 selain terpaksa menanggung dua isteri serta tiga anak.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin termasuk mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Priscilla kemudian menetapkan 27 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN