PBAPP tiada asas siasat kes pelancong tak mandi kerana tiada laporan

PBAPP tiada asas siasat kes pelancong tak mandi kerana tiada laporan

TANGKAP layar yang diambil daripada akaun TikTok oleh pasangan pelancong asing yang mendakwa mereka tidak mandi selama tiga hari kerana kualiti air yang kotor sepanjang berada di sebuah hotel di Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hari ini tampil menjelaskan bahawa tiada sebarang laporan dibuat daripada mana-mana pengurusan hotel mengenai masalah kualiti air di premis mereka pada bulan Mei atau Jun tahun lepas.

Penjelasan itu dibuat susulan penularan satu rakaman video dalam aplikasi TikTok oleh sepasang pelancong asing yang mendakwa mereka tidak mandi selama tiga hari kerana air paip di bilik hotel mereka kotor semasa berada di Pulau Pinang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K.Pathmanthan, PBAPP bimbang dengan penularan video tersebut kerana pihaknya tidak mempunyai asas atau rujukan untuk memulakan siasatan.

“Kita dapati video ini telah disiarkan pada Mei 2023 iaitu kira-kira sembilan bulan yang lalu. PBAPP tidak merekodkan sebarang laporan daripada hotel mengenai masalah kualiti air pada Mei atau Jun 2023,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok mengenai dakwaan pelancong yang menginap di sebuah hotel di Pulau Pinang bahawa air di hotel tersebut kotor hingga menyebabkan mereka tidak mandi selama tiga hari.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, ketika ini, PBAPP juga tiada maklumat mengenai hotel mana yang dilaporkan oleh pasangan terbabit malah nama mereka juga tidak didaftarkan sebagai pengguna air dalam pangkalan data PBAPP. 

“Hotel tempat mereka menginap adalah pengguna air berdaftar. Tanpa siasatan, PBAPP tidak dapat memastikan sama ada air paip kotor yang didakwa disebabkan oleh PBAPP atau sistem retikulasi dalaman hotel (paip, tangki air dan/atau sistem penapisan air),” katanya.

Dalam pada itu, katanya, PBAPP memohon kerjasama daripada pengguna air di Pulau Pinang yang mengalami masalah air kotor atau keruh untuk membuat laporan kepada PBAPP.

“PBAPP akan menyiasat semua laporan dan akan memaklumkan kepada anda jika puncanya berkaitan dengan masalah bekalan air awam atau masalah retikulasi dalaman.

“Jika isu ini berkaitan dengan saluran paip agihan PBAPP sebelum kedudukan meter, maka, kami akan mengambil tindakan pembaikan atas kos kami. Sebaliknya, jika isu itu berkaitan dengan sistem retikulasi dalaman anda, anda yang perlu mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Tambah beliau, pengguna boleh memfailkan laporan melalui saluran komunikasi berikut iaitu Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-2558255; myPBA app yang boleh dimuat turun daripada Apple App Store atau Google Play Store, Pusat Khidmat Pelanggan PBAPP atau emel kepada [email protected].

“Dalam hal ini, kami memerlukan nama, alamat serta nombor akaun anda untuk memulakan siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN