Ops Raya: Bomba Terengganu tempatkan anggota di LPT 2 - Utusan Malaysia

Ops Raya: Bomba Terengganu tempatkan anggota di LPT 2

HASSAN 'As'ari Omar melakukan gimik pelancaran Program Kempen Kesedaran Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Kuala Terengganu, malam tadi. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menempatkan pasukan respon segera Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 sempena Ops Raya pada Tahun Baharu Cina bermula hari ini.

Pengarah JBPM negeri, Hassan ‘As’ari Omar, berkata, pasukan tersebut akan berada
di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing
sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlaku kemalangan di sepanjang lebuh raya tersebut dalam tempoh operasi berkenaan.

Menurutnya, pasukan itu terdiri daripada kekuatan 13 pegawai dan anggota itu selain aset sebuah jentera, ambulans dan tiga buah motosikal yang bertugas secara penggiliran.

Beliau berkata, penugasan tersebut yang bermula hari ini sehingga 13 Februari bagi meningkatkan perkhidmatan lebih selamat kepada pengguna jalan raya di LPT2.

“JBPM juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa lain dan kita menjangkakan akan berlaku pertambahan kenderaan sempena cuti perayaan ini sekaligus meningkatkan risiko kemalangan.

“Jadi JBPM akan menempatkan pasukan di R&R Perasing bagi memastikan respon kepada kemalangan di LPT2 dapat diberikan dengan cepat dan pantas sebelum bantuan lain tiba.

“Seramai 13 pegawai dan anggota dengan aset JBPM akan bersedia dengan shif 12 jam khusus untuk persediaan sebarang insiden di LPT2,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kempen Kesedaran Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baru Cina di sini, malam tadi.

Selain itu, Hassan ‘As’ari menambah, pihaknya turut memberi fokus kepada lokasi-lokasi yang dijangka menjadi tumpuan orang ramai terutama pelancong pada cuti perayaan.

Beliau berkata, JBPM telah meningkatkan rondaan serta pemantauan di tempat di pusat rekreasi seperti pantai, tapak perkelahan dan sungai bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu sahaja 23 kes lemas direkodkan di seluruh Terengganu dengan 29 kematian, tiga cedera dan 44 terselamat manakala 22 kes kematian pada 2022.

“Sehubungan itu hanya 30 peratus daripada 806 pegawai dan anggota JBPM Terengganu dibenarkan bercuti bagi memastikan keanggotan kami mencukupi pada musim perayaan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN