Ojek: Tidak sesuai dengan budaya Malaysia

Ojek: Tidak sesuai dengan budaya Malaysia

Seorang penunggang ‘Ojek’ teksi motosikal menunggu pelanggan di sebatang jalan di Jakarta, ibu negara Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan mewujudkan teksi motosikal atau ‘ojek’ hanya sesuai untuk dilaksanakan secara terpencil di bandar raya tertentu yang menjadi tarikan pelancong luar negara seperti di Georgetown, Melaka dan Langkawi dan Johor Bahru.

Bagaimanapun, sekiranya teksi motosikal mahu dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara, cadangan tersebut dianggap tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu selain isu keselamatan membabitkan penunggang motosikal.

Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia, Jose Rizal berkata, sekitar dua ke tiga tahun sebelum ini, sebuah syarikat teksi motosikal dari Indonesia pernah melakukan ujian pasaran di Malaysia bagi memperkenalkan ojek ke negara ini.

Bagaimanapun, berikutan isu keselamatan dan percanggahan dengan budaya rakyat Malaysia, rancangan tersebut tidak diteruskan kerana mendapat bantahan banyak pihak.

“Isu utama dalam melaksanakan cadangan tersebut adalah budaya dan keselamatan. Di Malaysia, penunggang motosikal merupakan penyumbang kes kemalangan jalan raya tertinggi. Jadi jika mahu memperkenalkan ojek, kerajaan harus menelitinya sedalam-dalamnya.

“Kami tidak menolak 100 peratus untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal di negara namun ia hanya sesuai dilaksanakan secara terpencil dan bukannya secara menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pelaksanaan teksi motosikal perlu disertakan dengan satu polisi bersesuaian dengan budaya rakyat Malaysia yang majoritinya adalah orang Islam selain keperluan memikirkan isu keselamatan penunggang dan pembonceng pengangkutan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang cadangan untuk memperkenalkan perkhidmatan baharu seperti e-hailing atau p-hailing diibaratkan seperti ‘gali lubang, tutup lubang’ kerana masalah dihadapi pemain industri tersebut sehingga hari ini masih gagal ditangani oleh kerajaan.

“Pesan kami sebelum cadangan ojek ini diwujudkan, eloklah selesaikan dahulu masalah kadar upah yang sudah tiga tahun gagal diselesaikan kerajaan dalam industri e-hailing dan p-hailing.

“Pelaksanaan tersebut hanya akan mewujudkan masalah baharu sedangkan isu kadar upah e-hailing dan p-hailing sampai hari ini masih belum dapat diselesaikan,” katanya.

Untuk rekod, pekerja e-hailing dan p-hailing di Malaysia dianggarkan sekitar 200,000 orang dengan 97 peratus daripadanya adalah golongan belia berusia 18 hingga 30 tahun.

Akhbar ini, melalui segmen Tumpang Lalu di siaran Mingguan Malaysia semalam, mencadangkan supaya cadangan mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal atau ojek perlu difikirkan semula disebabkan isu peningkatan kos sara hidup rakyat sejak kebelakangan ini.

Walaupun, perkhidmatan tersebut pernah dicadangkan dan kemudiannya ditolak tetapi keperluan pasaran masa kini begitu mendesak dan menjadi trend orang muda menggunakan khidmat teksi motosikal di bandar besar seperti di Indonesia dan Thailand.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN