Mufti Pulau Pinang harap kes Nik Elin tidak dipolitikkan

Mufti Pulau Pinang harap kes Nik Elin tidak dipolitikkan

DR. WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berharap agar isu membabitkan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar enakmen jenayah syariah Kelantan tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau berkata, semua pihak perlu bersama-sama memikirkan tentang cara berkesan untuk memartabatkan kedudukan syariat Islam di negara ini.

“Pada pandangan saya, semua pihak perlu menerima keputusan mahkamah tersebut, namun, jika ada pihak yang tidak berpuas hati (dengan keputusan mahkamah), mereka boleh mencari jalan supaya peruntukan-peruntukan yang dibatalkan ini menjadi sah dari sudut undang-undang.

”Dalam hal ini, mereka boleh mencuba memohon untuk mendapatkan bantuan daripada pihak yang pakar dalam bidang undang-undang bagi menggubal peruntukan Enakmen Syariah Negeri Kelantan yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan supaya DUN tidak dianggap bertindak melebihi bidang kuasanya,” katanya di sini, hari ini.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 semalam memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dalam pemerintahannya.

“Sistem ini mengizinkan warganegaranya untuk menzahirkan pendirian dan kehendak masing-masing melalui apa jua saluran yang aman dan tidak menyalahi undang-undang.

“Ini termasuk mengadakan perhimpunan untuk sesuatu tujuan yang diperjuangkan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×