Mekanik bebas tuduhan edar dadah - Utusan Malaysia

Mekanik bebas tuduhan edar dadah

S. RAJA (tiga dari kiri) bersama dua peguam yang mewakilinya selepas Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan memiliki racun nitrazepam, empat tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang mekanik menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan memiliki racun nitrazepam, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu terhadap S. Raja, 45, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Bapa kepada dua anak itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Dalam penghakiman beliau, Bhupindar Singh berkata, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan pemilikan beg hitam yang dijumpai di lokasi serbuan sekali gus telah menimbulkan keraguan bagi pemilikan beg berkenaan.

Menurut beliau, beg hitam itu kemungkinan milik seorang lelaki dikenali Kishore Kumar yang telah datang ke rumah tertuduh pada 21 November 2020 dan keluar sehari kemudian antara pukul 3.30 hingga 4.30 petang.

“Kishore Kumar telah ditangkap pada 22 November 2020 pada 5.45 petang di tepi Jalan Panglima Bukit Gantang namun tiada dadah yang dijumpai sebelum serbuan dijalankan di rumahnya yang turut tidak menemukan dadah.

“Berdasarkan keterangan pendakwaan, jelas Kishore Kumar mempunyai akses ke bilik di mana beg hitam dijumpai. Bagaimanapun, Kishore Kumar tidak dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaan dan ini menyebabkan terdapat kelompongan dalam kes pendakwaan,” katanya.

Tambah Bhupindar Singh, mahkamah juga mendapati, pihak pendakwaan telah mengemukakan dua keterangan berbeza apabila keterangan saksi pendakwaan ke-6 (SP-6) iaitu pegawai tangkapan bercanggah dengan keterangan pegawai tangkapan SP-7.

“Selain itu, mahkamah juga mendapati pegawai penyiasat kes atau SP-8 telah menjalankan siasatan secara sambil lewa apabila tidak merakam percakapan saksi lain serta tidak mempunyai pengetahuan mengenai Kishore Kumar,” katanya.

Terdahulu, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya methamphetamine seberat 76.68 gram di sebuah bilik di Persiaran Sungai Pari Timur 14, Taman Mas Falim di Ipoh pada pukul 8 malam, 22 November 2020.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Lelaki itu juga didakwa memiliki racun nitrazepam seberat 4.14 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Kesalahan memiliki nitrazepam didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Hafiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam J. Matthews dan Muhammad Farhan Fadzil.

Seramai lapan saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kes tersebut yang mula dibicarakan pada tahun lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN