Manuskrip Sultan Zainal Abidin III ditemukan di London

Manuskrip Sultan Zainal Abidin III ditemukan di London

FADZLI Adam (tiga dari kanan) melihat manuskrip Melayu ketika lawatan di School of Oriental & African Studies (SOAS), University of London, United Kingdom.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INISIATIF Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) mengumpul dan mendigitalkan manuskrip Melayu sejak 2019 berjaya menemukan naskhah-naskhah bersejarah yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Antaranya ialah surat-surat yang ditulis pembesar Inggeris kepada Sultan Terengganu Ke-11, Sultan Zainal Abidin III, lebih 100 tahun lalu.

Almarhum baginda yang memerintah selama 37 tahun dari 1881 hingga 1918 merupakan sultan berjiwa ulama, malah akrab dengan ulama-ulama Terengganu termasuk Sayid Abdul Rahman Sayid Muhammad al-Idrus atau Tok Ku Paloh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menariknya, manuskrip itu bukan disimpan di Malaysia, tetapi ditemukan di School of Oriental & African Studies (SOAS) di University of London, United Kingdom (UK) serta di Aceh, Indonesia.

Naib Canselor Unisza, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, surat-surat itu dibawa balik penulis asal ke negara mereka selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Paling mengejutkan, kita sendiri tiada salinannya di Malaysia, mungkin kerana proses penyimpanan dan pemuliharaan tidak berlaku dengan baik hingga sebahagian surat-surat rosak.

“Menerusi Projek Pendigitalan Manuskrip Melayu yang dirintis 20 penyelidik dari Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (Inspire) Unisza ini, secara tidak langsung kita dapat menjejaki semula khazanah dan warisan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain Kesultanan Terengganu, projek pendigitalan itu turut menyimpan manuskrip ulama-ulama tersohor dari negeri sama seperti Tokku Paloh, Tokku Pulau Manis (Syeikh Abdul Malik Abdullah) dan Tok Syeikh Duyung atau nama sebenarnya Wan Abdullah Wan Muhammad Amin.

Ia juga meliputi manuskrip ulama-ulama Melayu dari Kedah, Arab Saudi, Aceh dan Kepulauan Riau serta Pattani.

Digitalkan 648 naskhah, 80,618 halaman

Sehingga kini, Unisza berjaya mendigitalkan sebanyak 648 naskhah manuskrip yang meliputi 80,618 halaman.

Kesemua manuskrip itu boleh diakses menerusi portal e-manuskrip yang dibuka kepada orang ramai sejak awal tahun lalu.

Fadzli berkata, proses pendigitalan dijadualkan selesai akhir tahun ini dengan melibatkan keseluruhan 3,000 naskhah manuskrip.

“Pada peringkat awal, kita cuma menyasarkan 2,000 naskhah sahaja tetapi jumlahnya dijangka meningkat berdasarkan kerjasama strategik dengan universiti di luar negara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para pengumpul.

“Selain itu, kita juga menerima maklumat baharu tentang kewujudan manuskrip Melayu di Rusia serta Paris, dan dalam usaha mendapatkan pihak yang boleh membantu mengatur pertemuan dengan pemilik di sana,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fadzli memberitahu, Fasa 2 bagi Projek Pendigitalan Manuskrip Melayu itu akan bermula awal tahun depan yang melibatkan kerja-kerja deskripsi kandungan.

Katanya, proses berkenaan dijangka mengambil masa selama dua tahun sehingga 2026.

“Aktiviti pendeskripsian lebih mencabar kerana hanya boleh dibuat oleh enam pakar manuskrip sahaja berikutan penggunaan tulisan jawi lama yang sukar difahami.

“Apabila siap kelak, orang ramai berpeluang membaca sinopsis atau rumusan sesuatu naskhah yang mungkin sebelum ini tidak pernah dibaca di mana-mana,” katanya.

 

Pusat rujukan nasional

Inisiatif yang diterajui Unisza ini membolehkan institusi itu diiktiraf sebagai Pusat Rujukan Nasional bagi pendigitalan manuskrip Melayu.

Menurut Fadzli,  walaupun usaha itu pernah dirintis universiti lain tetapi pendekatan Unisza lebih bersifat komprehensif.

“Harapan saya agar pengkaji, peminat, pelajar atau badan-badan berkaitan khazanah negara dapat menjadi e-manuskrip Unisza sebagai rujukan mereka.

“Menerusi usaha murni ini, sekurang-kurangnya kita dapat memulihara dan menyimpan khazanah negara dalam bentuk digital agar tidak rosak atau hilang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini