PETALING JAYA: Malaysia kini kekurangan doktor pelatih apabila jumlah yang menjalani peringkat awal latihan sebagai pegawai perubatan menyusut sebanyak 47 peratus sejak 2020.
Penyusutan bilangan doktor pelatih itu mencetuskan kebimbangan kerana boleh mendatangkan pelbagai impak termasuk peningkatan beban ditanggung tenaga kerja memandangkan lebih 70 peratus rakyat bergantung kepada sistem penjagaan kesihatan awam.
Antara faktor dikenal pasti menjadi punca kemerosotan tersebut adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat belajar bidang perubatan sekali gus menyebabkan graduan jurusan tersebut berkurangan.
Selain itu, terdapat graduan perubatan berhijrah ke luar negara sejurus selepas tamat pengajian kerana melihat prospek kerjaya lebih baik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Azizan Abdul Aziz berkata, jumlah doktor pelatih merosot berbanding lebih 6,000 orang ketika 2019 kepada 3,000 individu yang masing-masing direkodkan pada tahun 2022 dan 2023.
Katanya, angka itu menyaksikan kemerosotan 47 peratus doktor pelatih sepanjang tempoh tersebut.
Beliau berkata, masalah tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan kerajaan meletakkan kuota jurusan perubatan setiap tahun adalah sebanyak 4,820 orang, sebaliknya jumlah terkini masih rendah iaitu sekitar 4,000 orang.
“Kami tidak tahu apakah punca (kekurangan doktor pelatih), namun terdapat 2,491 graduan perubatan dilahirkan pada 2020, manakala 3,132 dan 3,934 masing-masing pada 2021 dan 2022.
“MMA tidak mempunyai angka untuk 2023, tetapi sebenarnya kerajaan menjangkakan keluaran 3,934 graduan perubatan tempatan pada setiap tahun dalam tempoh tiga tahun yang membabitkan 2,281 universiti awam dan 1,653 institusi pengajian tinggi swasta.
“Jumlah kemasukan kouta pelajar perubatan yang dibenarkan Kementerian Kesihatan setiap tahun adalah 4,820 orang, sebaliknya keluaran graduan masih rendah sekitar 4,000 sahaja,” katanya.
Untuk maklumat, mana-mana graduan perubatan perlu menjalani program doktor pelatih sekurang-kurangnya selama dua tahun sebelum bergelar sebagai seorang pegawai perubatan.
Mengulas lanjut, Dr Azizan berkata, MMA berpandangan kerajaan perlu menjelaskan punca penurunan bilangan doktor pelatih sedangkan sekitar 4,000 graduan perubatan dihasilkan pada setiap tahun.
Kata beliau, pihaknya juga melihat perancangan pengambilan doktor pelatih seharusnya seiring dengan keluaran graduan setiap tahun di samping mempunyai perancangan untuk penempatan bakal pegawai-pegawai perubatan.
“Kami berharap kerajaan dapat menjelaskan sebab-sebab penurunan pelantikan HO (doktor pelatih) walaupun 2,000 hingga 4,000 graduan perubatan dihasilkan setiap tahun,” katanya.
Namun Kementerian Kesihatan baru-baru ini memutuskan proses pengambilan doktor pelatih disingkatkan kepada dua bulan, berbanding tempoh menunggu hampir dua tahun sekarang di samping turut mengadakan enam kali pengambilan dalam setahun.
Dalam pada itu, jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata, kerajaan dicadangkan untuk mengambil beberapa langkah antaranya memperbanyakkan slot jurusan perubatan di universiti awam dan menawarkan lebih banyak biasiswa untuk pelajar lepasan SPM dalam bidang perubatan.
Selain itu katanya, memperbaiki sistem kontrak kepada status tetap sama ada dengan pencen atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di samping membuka laluan sepenuhnya untuk doktor-doktor menjadi pakar serta menambah baik tangga gaji dan elaun doktor.
Beliau menjelaskan punca penurunan doktor pelatih disebabkan pelbagai faktor antarnya kurang graduan perubatan sejak kebelakangan ini disebabkan ramai belia khususnya lepasan SPM tidak berminat memasuki bidang tersebut.
“Malah ramai doktor dalam sektor kerajaan dah berhenti sebab faktor tekanan kerja dan gaji yang tidak setimpal dengan kerja,” katanya.
Di samping itu katanya, terdapat graduan perubatan berhijrah ke negara lain kerana mahu merebut peluang prospek kerjaya dan imbuhan lebih baik.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan ketika dihubungi memaklumkan, pihak kementerian akan memberi penjelasan lanjut kepada Utusan Malaysia mengenai dakwaan itu. – UTUSAN










