Lelaki dilaporkan hilang ditarik ombak ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Lelaki dilaporkan hilang ditarik ombak ditemukan lemas

MAYAT Zulkarnain Mohamed Zubir yang ditemukan lemas di Pulau Gemia, Marang dibawa ke Unit Forensik HSNZ, Kuala Terengganu, petang tadi. - UTUSAN KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas ditarik ombak besar ketika sedang bersiar-siar di pesisir Pantai Batu Buruk di sini semalam ditemukan lemas pada pukul 4 petang tadi.

Mayat Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, ditemukan beberapa nelayan dalam keadaan terapung berhampiran Pulau Gemia di Marang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, sejurus mendapat maklumat tersebut, pihaknya bersama polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terus bergerak ke lokasi.

Menurutnya, pasukan penyelamat tiba di lokasi tersebut pada pukul 4.34 petang dan membawa mayat ke jeti Pulau Kapas, di Marang.

“Mayat tiba pada pukul 5.13 petang di jeti seterusnya dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pengecaman oleh keluarga mangsa dan bedah siasat.

“Mayat tersebut dijumpai selepas hampir 30 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan, kira-kira 16 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi, semalam, mangsa yang merupakan seorang ahli perniagaan dilaporkan hilang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk.

Isteri mangsa Nora Elina Abdul Khalit, 44, dan dua anak mereka yang berusia sembilan dan 11 tahun sedang bermain pasir di pantai tersebut.

Isteri mangsa cuba berenang dan membaling pelampung untuk menyelamatkan suaminya namun gagal kerana arus yang sangat kuat menghanyutkan suaminya lebih jauh ke tengah laut.

Terdahulu, operasi hari kedua dimulakan seawal pukul 7 pagi tadi dengan kekuatan 64 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan seperti bomba, Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain rondaan di darat, khidmat dua anjing pengesan (K9), unit udara JBPM dan dron turut digunakan untuk membuat pemantauan udara sekitar 30 kilometer radius dari lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN