ANKARA: Kargo barangan tembikar ‘mewah’ muncul semula selepas berada selama 2,100 tahun di dasar Laut Mediterranean.
Pasukan ahli arkeologi menemukan sebuah kapal karam yang sarat dengan ribuan bekas seramik di perairan luar pantai Turkiye, baru-baru ini.
Penemuan itu terdiri daripada mangkuk sup, pinggan ikan dan dulang pelbagai saiz yang kekal dalam keadaan amat baik.
Khazanah tersebut memberikan gambaran berhubung budaya santapan golongan kaya pada era Empayar Rom, apabila barangan mewah yang menjadi rebutan itu didagangkan menerusi laluan laut.
Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turkiye, Mehmet Nuri Ersoy dalam satu kenyataan berkata, pihaknya membawa keluar set pinggan mangkuk berusia 2,100 tahun dari dasar Laut Mediterranean.
“Dalam penggalian dasar laut yang dilancarkan pada 2025, kami setakat ini telah menemukan ribuan artifak daripada sebuah kapal karam yang sarat dengan muatan seramik,” katanya.
Bangkai kapal tersebut berada pada kedalaman 55 meter di luar pantai Adrasan di Antalya.
Ia dipercayai berasal dari Rhosus iaitu sebuah penempatan purba yang kini terletak di wilayah Hatay.
Kedua-dua kawasan berkenaan terpisah sejauh 300 batu nautika dan kapal itu dipercayai dalam perjalanan menuju ke Rom sebelum dibadai ribut sebelum karam.
Setakat ini, pihak penyelidik telah membawa keluar ribuan artifak merangkumi pinggan, mangkuk dan dulang dalam 122 bentuk serta saiz berbeza.
Pakar arkeologi turut menemukan tembikar seramik dari dasar beberapa buah pulau di Laut Aegean, sekali gus menunjukkan bahawa kapal tersebut membawa muatan dari pelbagai pusat pengeluaran.
Bukti penulisan Rom purba menunjukkan bahawa tembikar dari Rhosus mempunyai reputasi dan nilai yang amat tinggi dalam kalangan pengguna berpendapatan tinggi.
Kepentingan penemuan itu turut diperkasa menerusi pautan sejarah dengan salah satu tokoh terkenal Rom purba, Cicero.
Menerusi sekeping surat kepada rakannya, Atticus pada tahun 50 Sebelum Masihi (SM), Cicero ada menyebut berhubung tempahan perkakas seramik dari Rhosus, sekali gus mengesahkan bahawa set pinggan mangkuk dari wilayah itu amat disanjung tinggi oleh golongan berada di Rom. – AGENSI











