KUALA LUMPUR: “Setiap hari kami menerima panggilan daripada remaja ‘terlanjur’ yang merayu diberikan perlindungan.”
Itu pendedahan pemilik Pertubuhan Kebajikan Nur Hati (PKNH), Mohamad Zaid Mohamad Shah berhubung realiti sebenar golongan bawah umur yang semakin ramai terjebak dalam kancah sosial.
Situasi seumpama itu dihadapinya setiap hari selepas beliau secara sukarela dan atas dasar ihsan menyediakan ruang transit sementara bagi menempatkan remaja hamil luar nikah yang tidak ada tempat perlindungan sejak ditubuhkan 17 tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, pihaknya menyelamatkan kira-kira 3,000 remaja daripada melakukan perbuatan di luar batas kemanusiaan untuk menggugurkan atau membuang bayi yang dikandung mereka hanya kerana malu dan bimbang dengan penerimaan keluarga serta masyarakat.
Jumlah tersebut meliputi mereka yang diselamatkan sama ada ditempatkan di situ atau sekadar diberi pertolongan melalui panggilan telefon selain bertemu sendiri remaja terlibat agar tidak bertindak mengikut perasaan sehingga melakukan jenayah pula ke atas bayi yang tidak berdosa.
Katanya, kebanyakan kes bermula selepas setiap kali sambutan perayaan termasuk Hari Valentine memandangkan ramai remaja suka meraikan pasangan kekasih sehingga sanggup menggadaikan diri dan maruah demi manifestasi cinta.
“Pernah ada satu kes saya terima panggilan remaja nyaris mahu menggugurkan kandungannya dan tergamak menumbuk perut sendiri dengan harapan anak itu mati.
“Nasib baik saya dapat memujuknya untuk dia tinggal di sini sehingga melahirkan anaknya. Alhamdulillah anak ini sudah berusia tujuh tahun dan masih tinggal di sini walaupun remaja itu mengambil keputusan untuk keluar dari rumah ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamad Zaid, pusat perlindungan itu menyediakan ruang transit sementara bagi menempatkan remaja terlanjur sepanjang kehamilan bermula lima bulan ke atas.
Katanya, paling banyak remaja yang pernah diterimanya pada satu-satu masa adalah seramai 12 orang dan pihaknya tidak boleh menerima terlalu ramai kerana ruang agak terhad.
Remaja yang mendapat penempatan di PKNH diberikan bimbingan kaunseling serta pendedahan agama supaya meneruskan kandungan dan melahirkan anak dengan selamat.
“Selain penempatan remaja hamil, kami menerima bayi luar nikah yang dibuang. Kebanyakannya hamil tanpa pengetahuan ibu bapa namun ada juga yang sudah tahu tetapi tidak diterima.
“Bagi yang berahsia, sebolehnya saya akan bantu dia hubungi keluarga untuk jelaskan perkara sebenar,” katanya.
TANGGUNG KOS RM40,000 SEBULAN
Menggunakan dana persendirian demi menjamin kebajikan kanak-kanak dan remaja, PKNH meneruskan operasi membantu mereka yang memerlukan meskipun menghadapi kesukaran dalam mendapatkan bantuan dana.
Mohamad Zaid berkata, rumah tersebut menempatkan kanak-kanak dalam lingkungan usia bermula satu hingga 14 tahun yang ‘ditinggalkan’ oleh ibu mereka selepas dilahirkan luar nikah.
Ada dalam kalangan ibu mereka berlindung di rumah itu ketika mengandung sehingga bayinya dilahirkan dan kemudian meninggalkan rumah perlindungan tersebut tanpa membawa bayi itu bersamanya.
Campur tangan keluarga remaja itu juga memaksa dia tidak mahu membawa bayi itu bersamanya hanya kerana malu dengan penerimaan masyarakat.
Disebabkan itu, pihaknya mengambil tanggungjawab untuk terus menjaga bayi dan kanak-kanak itu dan kini terdapat 37 orang tinggal di pusat perlindungan berkenaan sejak mereka bayi.
Katanya, demi masa depan pelajaran kanak-kanak itu, mereka semua dihantar ke sekolah, namun hanya 16 kanak-kanak menjalani persekolahan harian manakala selebihnya dihantar ke sekolah tahfiz swasta berasrama yang hanya pulang dua minggu sekali.
“Kos bulanan yang perlu ditanggung mencecah RM40,000 merangkumi aspek keperluan harian seperti makanan, pakaian serta bil-bil lain termasuk utiliti, sewa rumah dan yuran persekolahan.
“Anak-anak ini dihantar ke sekolah swasta disebabkan masalah dokumen. Justeru, kami terpaksa menanggung kos persekolahan mereka sekurang-kurangnya RM500 seorang,” katanya.
Pusat perlindungan PKNH mula didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 2007 namun bantuan kepada remaja hamil yang memerlukan bantuan sudah bermula sejak 2004.
Pertubuhan ini diwujudkan sebagai satu inisiatif membantu masyarakat menangani isu sosial terutama melibatkan remaja Melayu beragama Islam terutama masalah pembuangan bayi serta warga emas yang dibiarkan tanpa perhatian.
Mohamad Zaid berkata, penubuhan PKNH adalah usaha murni yang dilakukan arwah ibunya yang tidak sanggup melihat penderitaan orang lain. Beliau kini hanya meneruskan legasi agar inisiatif ibunya tidak terhenti sampai bila-bila.
REMAJA BERSALIN SENDIRI TENGOK VIDEO YOUTUBE
Seorang pelajar universiti tekad melahirkan anaknya di bilik air sebuah hotel yang disewa sambil bergantung pada video tutorial di laman sosial YouTube.
Mendedahkan perkara itu, Mohamad Zaid berkata, ia diceritakan semula pelajar itu selepas diselamatkan dan diberikan rawatan sewajarnya di hospital.
Pada mulanya, beliau menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memberitahu terjumpa seorang bayi yang didakwa ditinggalkan di atas bonet kereta di tempat letak kenderaan.
“Saya pinjam motor staf untuk ke lokasi yang dinyatakan dan ternyata memang ada bayi yang ditinggalkan. Saya tidak banyak fikir dan bawa bayi itu ke rumah.
“Bayi itu masih merah, dibalut dengan tuala dan masih bertali pusat,” katanya.
Bercerita lanjut, katanya, lelaki yang menghubunginya itu ada bersama di lokasi tersebut, namun dia tidak sempat bertanya kerana terpaksa menghadiri program lain.
Bagaimanapun, lelaki itu ada meninggalkan nombor telefon dan dia menghubunginya semula pada keesokan harinya.
“Pada firasat saya yakin lelaki itu adalah bapa sebenar kepada bayi berkenaan dan dia hanya mereka cerita kerana tidak mahu bayi itu yang dilahirkan teman wanitanya akibat hubungan terlarang.
“Saya desak dia untuk beritahu siapa emak kepada bayi ini dan akhirnya dia mengaku dan memberikan maklumat ibu bayi tersebut. Saya berjaya menghubungi ibu itu dan memujuknya untuk mendapatkan rawatan selepas dia bersalin seorang diri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang menubuhkan rumah perlindungan tersebut, setiap remaja yang dibantu mempunyai sejarah hitam tersendiri.
Ada antara remaja yang pernah terlibat dalam kes berkaitan juga tergolong dalam kalangan pelajar cemerlang di universiti dengan latar belakang keluarga yang berprofil tinggi.
Tidak keterlaluan jika ada dalam kalangan mereka seorang yang menghafaz al-Quran akibat terpengaruh rakan sebaya selain menjadi ‘call girl’ iaitu ‘menjual’ diri demi meraih pendapatan lumayan.
Katanya, perkara ini berlaku apabila pelajar seperti ini mengalami kesempitan wang dan terdesak selain melihat rakan sebilik yang hidup mewah.
“Pelajar universiti kebiasaannya menerima elaun setakat RM300, mana cukup nak tanggung perbelanjaan.
“Bila dia tengok kawan sebilik mewah sikit, mula lah bertanya dia buat apa sampai boleh beli macam-macam,” kongsinya.
Tambah beliau, kebanyakan kes yang diterima juga adalah remaja terlanjur yang terlalu mempercayai kekasih namun ditinggalkan setelah hamil.
“Ada yang bercinta dengan suami orang, berjanji kononnya dia akan tanggung akibat perbuatan masing-masing. Tapi bila mengandung, dia tinggalkan perempuan it,” katanya. – UTUSAN







