SUNGAI SIPUT: Seorang peniaga roti terlepas hukuman penjara sebaliknya diperintah melakukan kerja kebajikan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan membuat laporan palsu berkaitan kejadian samun, dua minggu lalu.
Majistret Nurul Asyifa Redzuan memerintahkan Abdul Mustaqim Mohd. Tab, 31, melakukan kerja kebajikan itu tiga jam sehari selama tiga bulan selepas menimbangkan rayuan, fakta kes dan hujah pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa sengaja memberi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Firdaus Abdullah maklumat bertulis palsu yang menyebabkan penjawat awam itu melakukan siasatan yang sepatutnya tidak dilakukan di pejabat pegawai penyiasat bahagian siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada pukul 1 petang, 9 Februari 2024.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. S. Vitthiyeswary manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.
Terdahulu, Vitthiyeswary memohon hukuman denda yang tinggi dikenakan terhadap tertuduh berikutan alasannya membuat laporan palsu berkaitan kejadian samun itu disifatkan sebagai tidak munasabah.
Bagaimanapun, Siti Hajar memohon tertuduh dikenakan hukuman denda minimum atas alasan ia merupakan kesalahan pertama selain menanggung kedua ibu bapanya dengan pendapatan sebanyak RM40 sehari.
Mengikut fakta kes, lelaki itu mendakwa wang tunai RM950 yang merupakan wang jualan roti telah disamun dua lelaki bermotosikal semasa berada di tepi jalan berdekatan Hospital Sungai Siput pada 9 Februari lalu.
Hasil siasatan mendapati, dakwaan tertuduh merupakan rekaan semata-mata di mana wang yang disamun itu sebenarnya digunakannya untuk membayar hutang kepada rakan. – UTUSAN










