MUAR: Ruangan komen ‘Facebook’ milik pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin yang dilaporkan hilang Isnin lalu dibanjiri dengan komen kecewa, marah dan kesal oleh warga maya.
Rata-rata mereka meluahkan rasa kesal dengan laporan palsu kehilangan Ija Nizaruddin atau nama sebenarnya, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.
“Kesian anggota bomba, polis dan pihak berkuasa menyelam cari rupanya dia lari ke Siam.
“Walau apa pun masalah, janganlah sampai menyusahkan orang lain. Banyak lagi cara nak buat ‘prank’, bukan dengan buat laporan palsu.
“Banyak pihak terlibat nak cari dia (Ija Nizaruddin) tapi dia dengan adik dia komplot pulak buat-buat ghaib,” komen warga maya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan, hasil siasatan mendapati laporan kehilangan lelaki itu meragukan dan percaya ia telah direka.
“Makluman Orang Hilang (OH) telah dijumpai dan siasatan kerana memberi maklumat palsu dan bersubahat melakukan kesalahan
“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung laporan polis palsu, pemberian keterangan tidak benar serta bersubahat dalam satu insiden kehilangan individu yang disyaki direka untuk kepentingan peribadi.
“Siasatan mendedahkan bahawa mangsa dipercayai menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Muar sebelum melarikan diri ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Raiz, adik mangsa mengesahkan yang dia turut bersubahat dan berpura-pura menjalankan operasi mencari bagi mengaburi siasatan polis. – UTUSAN










