PUTRAJAYA: Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia adalah kekal utuh dengan jaminan kedudukannya sebagaimana dinyatakan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Itu reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mohktar susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar enakmen jenayah syariah Kelantan.
Mohd Na’im berkata, beliau juga mahu satu kajian dibuat segera atas alasan penghakiman kes ini.
Menurutnya, perancangan-perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan mahkamah syariah akan terus berjalan di Malaysia.
“Sebagai tindakan segera, saya mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berusaha segera mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes ini untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.
“Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini.
“Segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan mahkamah syariah akan dilaksanakan,” katanya.
Katanya, beliau juga akan segera memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum akan hal keputusan mahkamah hari ini.
Jelasnya lagi, beliau juga akan segera memohon menghadap Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan.
Pada masa sama, katanya, beliau juga akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan, semua pihak yang terlibat dengan mahkamah syariah untuk sama-sama berbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi mahkamah syariah.
“Jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, kita akan segera melakukannya.
“Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh Tun Zaki Tun Azmi juga akan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Katanya, semua pihak diseru untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam.
Tambahnya lagi, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa mahkamah syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










