GEORGE TOWN : Keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah tidak menjejaskan atau menggangu fungsi Mahkamah Syariah di Pulau Pinang.
Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab berkata, dalam hal ini, semua pihak perlu menghormati keputusan yang telah dibuat Mahkamah Persekutuan itu dan bersedia untuk menerima sebarang penambahbaikan jika ada.
Muhamad Abdul Karim berkata, pihaknya menghormati keputusan yang telah dibuat sama ada dari segi peningkatan martabat dan sebagainya serta tidak berasa ‘terganggu’ dengan perkara-perkara tersebut.
“Sebabnya, kalau kita terganggu dengan perkara-perkara itu, ini bermakna susah untuk kita mahu berjalan ke depan, walaupun proses ini pastinya mendapat sedikit liputan (media). Apapun, kerja kita (di mahkamah) tetap berjalan seperti biasa.
“Dari segi (bidang kuasa di peringkat) negeri pula, selagi mana tidak ada cabaran (mana-mana pihak yang mencabar) bidang kuasa kita di Pulau Pinang, maka, saya ingat perkara ini (enakmen Syariah) pasti berjalan seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Syariah Pulau Pinang di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis pentauliahan dan pengisytiharan peguam syarie Pulau Pinang Tahun 2024 yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Mohamad Abd. Hamid dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.
Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Mengulas lanjut, Muhamad Abdul Karim berkata, ruang lingkup dan fungsi Mahkamah Syariah sebenarnya adalah lebih luas dan tidak terhad kepada kesalahan melibatkan jenayah syariah semata-mata.
“Mahkamah Syariah ini kalau kita lihat dari segi ruang lingkup, ia luas dan bukan sahaja setakat meliputi kes jenayah syariah. Kita ada kes faraid, harta pencarian, hadanah dan sebagainya.
“Jadi, pada pendapat saya, isu jenayah syariah sebenarnya tidak sampai beberapa peratus sahaja daripada amalan di Mahkamah Syariah sendiri. Sebagai contoh, di Pulau Pinang ini, hanya 20 peratus kes sahaja yang melibatkan jenayah syariah,” katanya.
Sementara itu katanya, isu perundangan adalah perkara yang berjalan seiring dengan proses mahkamah dan sekiranya berlaku pindaan dan sebagainya, mahkamah tetap menjalankan fungsinya untuk memartabatkan keadilan Syariah itu sendiri.
“Mahkamah kita ini terbina atas dasar undang-undang, jadi sekiranya cabaran ini berlaku, ia adalah salah satu perkara yang akan mungkin mematangkan lagi proses keadilan selepas ini,” katanya.-UTUSAN










