BUTTERWORTH: Pemergian bekas pemain kebangsaan, Moey Kok Hong, 56, begitu dirasainya oleh keluarganya apatah lagi mereka ketika ini sedang sibuk melakukan persiapan untuk menyambut Tahun Baharu Cina, Sabtu ini.
Perkara itu diakui sendiri oleh anak mendiang, Moey Shih Ying, 27, ketika ditemui pemberita di pusat pengurusan jenazah di Mak Mandin di sini, hari ini.
Shih Ying berkata, meskipun sedih kehilangan orang yang tersayang, namun katanya, dia dan ahli keluarganya yang lain akan sentiasa mengenangkan sifat Kok Hong yang penyayang.
“Minat mendalamnya terhadap bola sepak tidak pudar biarpun sudah tidak aktif dan dia (mendiang) tetap bertanya khabar serta sering mengikuti perkembangan terkini rakan-rakannya ketika ini.
“Dalam hal ini, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir serta menyampaikan ucapan takziah kepada kami,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Shih Ying sebelum itu turut berkongsi mengenai keadaan kesihatan bapanya yang didiagnosis mengidap penyakit komplikasi jantung sejak sekian lama sebelum disahkan meninggal dunia, semalam.
“Ayah sudah menjalani prosedur angioplasti koronari lebih lima tahun lalu dan sejak itu, dia (mendiang) kurang aktif dan banyak masa dihabiskan dengan berehat.
“Namun, kira-kira pukul 5 pagi semalam, ayah tidak sedarkan diri dan kami memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum menghantarnya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut,” katanya yang memberitahu, Kok Hong bagaimanapun menghembuskan nafasnya yang terakhir tidak lama selepas itu.
Jelas Shih Ying, mayat mendiang bapanya itu akan dibawa ke Krematorium Berapit bagi upacara pembakaran kira-kira pukul 10 pagi esok.
Kok Hong yang juga anak jati Bagan itu meninggalkan seorang isteri, Ang Chooi Choon, 54, tiga anak serta empat orang cucu.

Terdahulu, mendiang memulakan kerjaya bola sepaknya bersama Penang FA antara 1987 hingga 1992 dan menyertai beberapa pasukan lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Negeri Sembilan dan Perak sebelum kembali menyarung jersi Pulau Pinang antara tahun 1996 hingga 2002.
Kok Hong juga pernah mewakili Malaysia pada kempen Piala Tiger 1998 dengan beraksi pada perlawanan pertama menentang Singapura di Hanoi, Vietnam selain diturunkan ketika aksi persahabatan antara Pilihan Malaysia bertemu Arsenal di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tahun 1999.-UTUSAN










