Jangan mainkan sentimen, provokasi kes Nik Elin - Utusan Malaysia

Jangan mainkan sentimen, provokasi kes Nik Elin

RAZARUDIN Husain berucap pada Penutupan Ujian Mara Lasak KDNKA PDRM 2024 di Markas Briged Utara PGA Ulu Kinta di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengguna media sosial diingatkan untuk tidak membangkitkan sentimen agama mahupun melakukan provokasi berlebihan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam dengan menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja).

“Kita telah beritahu dari dulu lagi, jangan mainkan isu-isu sensitif terutama 3R. Jika ada isu yang mendatangkan kegusaran untuk agama, menyentuh sensitiviti raja dan agama, kita akan siasat.

“Bagi isu ini (pembatalan 16 kesalahan syariah), banyak provokasi yang dibuat di media sosial. Kita ada menerima laporan daripada pengadu-pengadu yang terkesan dengan ‘posting’ yang dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM 2024 di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah KDNKA, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim.

Menurut Razarudin, setakat ini, polis sudah menerima tiga laporan daripada Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid berkaitan ugutan bunuh yang diterima peguam itu susulan petisyen yang difailkannya di mahkamah.

Beliau berkata, lebih banyak laporan polis akan diterima dalam masa terdekat berhubung isu sama.

“Daripada tiga kertas siasatan itu, satu daripadanya telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

“Dua lagi masih dalam siasatan dan saya dimaklumkan, polis telah mengenal pasti siapa yang terlibat dalam menghantar ugutan tersebut,” katanya.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN