Hubungan Bersatu, Pas kekal utuh, terjalin erat

Hubungan Bersatu, Pas kekal utuh, terjalin erat

Padang Serai
AZMAN NAZRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dakwaan kononnya hubungan antara pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) melibatkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang goyah tidak tepat dengan realiti semasa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Azman Nasrudin berkata, hubungan baik antara kedua-dua rakan komponen dalam PN utuh dan kekal kukuh ketika ini.

“Dakwaan dan tuduhan ini hanya permainan politik pihak tertentu sahaja. Mereka serang dan fitnah PN sebab mereka tahu sokongan rakyat khusus­nya orang Melayu lebih padu kepada kita.

“Malah orang bukan Me­layu juga semakin muak dengan Kerajaan Perpaduan yang dilihat semakin gagal dalam mentadbir negara,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azman yang juga Ahli Parlimen Padang Serai mengulas gesaan bahawa PN perlu segera memutuskan calon Perdana Menteri susulan wujud spekulasi hubu­ngan dingin antara pemimpin tertinggi komponen itu yang didakwa boleh menjejaskan masa depan kerjasama Pas dan Bersatu disebabkan faktor itu.

Di sebalik Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan akan kekal sebagai ‘poster boy’ untuk PN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar turut disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu.

Sementara itu, Azman berkata, PN tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada kelemahan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menunjangi kerajaan ketika ini sewajarnya mengotakan janji mereka untuk mengurus negara dengan baik.

“Apa yang lebih baik adalah pimpinan kerajaan pusat memberi tumpuan dan fokus dalam mentadbir negara, jangan pula dihalakan serangan kepada PN dengan pelbagai dakyah akibat kegagalan mentadbir ekonomi,” katanya.

Sementara itu Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, hubungan Bersatu dan Pas terus utuh ke arah mencapai matlamat menumbangkan Kerajaan Perpaduan pada PRU16, empat tahun lagi.

Menurut beliau, naratif yang cuba dimainkan mengenai hu­bungan dingin itu adalah ang­kara pihak tidak bertanggungjawab yang cemburu dengan peningkatan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).

RAZALI IDRIS

“Atas dasar apa yang dikatakan hubungan dalam PN itu dingin, adakah hanya kerana tidak menamakan calon Perdana Menteri menjelang PRU-16?.

“Itu bukanlah perkara utama kerana fokus PN ketika ini ialah menawan Putrajaya. Selepas itu, barulah proses menghantar nama-nama calon Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Berhentilah menjadi batu api untuk memecah-belahkan hubungan erat dalam PN sekarang. Mungkin pihak tertentu risau kerana lebih 90 peratus sokongan Melayu adalah kepada PN ketika ini, jadi timbul pula isu hubungan kami dingin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Desas-desus mengenai keretakan hubungan Pas dan Bersatu mula timbul berikutan tiada ke­sepakatan antara mereka dalam menamakan calon Perdana Menteri pada PRU-16.

Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman 2 Disember lalu, nama Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dikatakan sebagai calon Perdana Menteri jika PN berjaya membentuk kerajaan pada PRU-16.

Namun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dikatakan membuat pusingan U untuk kekal menjadi calon Perdana Menteri menyebabkan hubungan kedua-dua parti itu sedikit renggang.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Kijal juga menegaskan semua ADUN Bersatu di Terengganu menerima peruntukan yang sama seperti ADUN Pas yang lain.

“Sebab itu saya katakan tak timbul isu dingin atau renggang kerana semua peruntukan diagih sama rata. Tak timbul juga Pas tinggalkan Bersatu atau Bersatu tinggalkan Pas.

“Semuanya masih tetap berjalan seperti biasa, janganlah sebab gerun dengan kekuatan sokongan luar biasa yang di­terima PN, maka direka pelbagai cerita untuk memburukkan hubungan PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×