PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak supaya menghentikan segala perbahasan, perbincangan dan pandangan berhubung keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, segala keputusan termasuk pengurangan hukuman dan denda terhadap Najib itu dibuat atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
“Kita tidak boleh menuntut penjelasan daripada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh YDPA dan diputuskan oleh YDPA.
“Itu kena faham dan bukannya (keputusan) diputuskan oleh Lembaga Pengampunan, sebaliknya prosesnya itu melalui Lembaga Pengampunan.
“Kalau nak tanya (penjelasan dan alasan keputusan itu dibuat), sila buat memorandum pada YDPA yang terdahulu,” katanya ketika menyampaikan amanat dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.
Anwar pada masa sama mahu semua pihak tidak bersikap untuk menyalahkan YDPA, Perdana Menteri, Peguam Negara mahu pun Lembaga Pengampunan berhubung keputusan dikeluarkan itu.
Anwar berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berbangkit kerana ia proses yang sudah termaktub dalam Perlembagaan sejak merdeka lagi.
Menurutnya, Raja-Raja Melayu tidak memutuskan berdasarkan undang-undang sahaja sebaliknya ia dibuat atas pertimbangan ihsan Tuanku.
“Dalam kes terdahulu, ada menteri, orang biasa dan ada kes hukuman bunuh serta pelbagai lagi, namun diberi peringkat-peringkat pengampunannya.
“Saya harap dengan penjelasan ini kita redakanlah kerana kita telah terima peruntukan Perlembagaan,” katanya.
Katanya lagi, beliau memahami isu itu telah menimbulkan sedikit kontroversi, malah ada pandangan yang agak keras daripada kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang).
Anwar turut menafikan keputusan itu seolah-olah menggambarkan kerajaan tidak bertegas dan longgar dalam soal permasalahan rasuah sebaliknya proses badan kehakiman masih diteruskan.
“Saya juga tidak menerima apa-apa ugutan dari UMNO, malah dia (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) tidak pernah bagi kata dua pada saya.
“Tapi pihaknya atau partinya ada hak supaya Perdana Menteri dan Lembaga Pengampunan memberi pertimbangan dengan alasan-alasan mereka,” katanya.
Katanya, proses Lembaga Pengampunan mengikut kaedah dan pertimbangan ditetapkan di mana asas rayuan akan mengambil kira peranan dan jasa Najib pada keluarga, masyarakat dan negara selain perjalanan hidupnya dalam penjara.
Jelasnya lagi, Lembaga Pengampunan juga mempertimbangkan proses badan kehakiman termasuk kes dan apa hukuman yang diterima Najib.
“Saya tidak menafikan saya suka atau tidak suka, sama ada rakan atau musuh politik, Namun prinsip keadilan dan prosesnya harus dihormati,” katanya. – UTUSAN










