KOTA BHARU: Permintaan ‘luar’ biasa rakyat negara ini untuk makan angin ke Hatyai, Thailand sempena cuti Tahun Baharu Cina menyebabkan syarikat pelancongan terpaksa mengehadkan perkhidmatan mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Eniq World Travel Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Rowi Dollah berkata, tindakan itu terpaksa diambil selepas pihaknya kekurangan kakitangan untuk mengendalikan trip ke negara berkenaan.
“Sempena Tahun Baharu Cina ini kami mengendalikan kira-kira 100 pelancong untuk ke Hatyai dan ia satu jumlah yang besar untuk pakej tiga hari dua malam.
“Untuk perjalanan kali ini saya menggunakan bas dan van pelancongan dari negara berkenaan untuk memudahkan pergerakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mohd. Rowi memberitahu, setiap bulan pihaknya mengendalikan lebih 10 kumpulan rakyat tempatan yang mahu makan angin di Hatyai.
Katanya, permintaan itu lebih tinggi berbanding aktiviti pelancongan di dalam negara.
“Kalau untuk pelancongan tempatan, kami mengendalikan sekitar dua hingga tiga kumpulan sahaja.
“Hasil pemerhatian saya, ‘kegilaan’ rakyat Malaysia ke Thailand disebabkan oleh kemudahan, banyak lokasi menarik, aneka pilihan makanan dan layanan ramah penduduk setempat kepada pelancong,” ujarnya.
Mohd. Rowi berkata, melihat kepada situasi itu kerajaan negeri Kelantan perlu berbuat sesuatu untuk bersaing dengan produk pelancongan di Hatyai khususnya.
Katanya, kemudahan pelancongan yang ada perlu dinaik taraf dan diindahkan lagi supaya mampu memikat orang ramai untuk berkunjung ke Kelantan.
“Sayanglah, Kelantan ada banyak produk pelancongan, namun tidak diberikan ‘suntikan’ yang baik. Akhirnya, kita semua yang rugi,” katanya.
Utusan Malaysia November lalu melaporkan, Hatyai kini jadi ‘mini Malaysia’ apabila setiap cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan dipenuhi pelancong dari negara ini. – UTUSAN










