SEPANG: Seorang mangsa jenayah pemerdagangan manusia di Myanmar jelas tidak dapat menahan sebak apabila akhirnya dapat pulang setelah tiga tahun terkandas di sana.
Malah suasana pilu juga menyelubungi di dewan ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini apabila mangsa disambut ibu dan saudaranya.
Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama Ah Chong, 34, bahkan memberitahu bahawa kepulangan kali ini menjadi hadiah cukup bermakna bagi sambutan Tahun Baharu Cina.
“Terima kasih MHO (Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia) yang berjaya bawa saya balik dengan selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, dia yang antara 10 mangsa diraikan MHO sejurus mereka tiba di KLIA dengan menaiki pesawat Thai Airways iaitu penerbangan TG 415 dari ibu kota Thailand, Bangkok.
Baki dua lagi mangsa walau bagaimanapun dijangka pulang ke tanah air minggu depan ekoran ada beberapa isu dokumentasi imigresen masih diuruskan di negara jiran tersebut.
Mengulas lanjut, Ah Chong yang merupakan kacukan Cina di sebelah bapanya dan India di sebelah ibunya berkata, dia pada asalnya dijanjikan bekerja di sebuah kasino di Thailand.
Pemuda yang menetap di Rawang, Selangor itu pergi ke sana sekitar Mac 2022 lalu dengan dibawa oleh ejen pekerjaan untuk menetap di sebuah hotel di Bangkok selama dua hari.
“Selepas itu saya mula sedar ditipu apabila kemudian dikerah pula naik sebuah trak pikap menuju ke Myawaddy, Myanmar yang mengambil masa lama lebih empat jam,” katanya
Dia pernah bekerja dalam bidang perkomputeran itu setelah tiba di premis markas sindiket tersebut memberanikan diri berjumpa terus ketuanya di situ untuk minta balik ke Malaysia.
Malangnya jelas mangsa, mereka diugut untuk membayar tebusan sebanyak RM80,000 atau dipaksa bertugas sebagai ejen panggilan palsu untuk perniagaan wang maya kripto.
Sepanjang di sana, Ah Chong mendakwa sering dibelasah oleh penyelia jika gagal mencapai sasaran ditetapkan malah gaji turut habis dipotong konon bagi bayar kos penginapan.
Mujur dia kemudian berpeluang menelefon keluarganya di tanah air baru-baru ini dan berjaya berbincang dengan ejen di Malaysia untuk hanya kena membayar RM30,000.
“Ketika saya sampai, ada lebih 80 warga Malaysia di situ tetapi ramai dapat pulang setelah bayar tebusan,” katanya yang mengakui dalang sindiket itu masih beroperasi di negara ini.
Justeru, dia menasihatkan masyarakat terutama remaja agar tidak terpedaya dengan janji tawaran gaji lumayan di luar negara kerana mungkin perangkap licik kumpulan jenayah itu. – UTUSAN










