PETALING JAYA: Gaza akan menjadi ‘padang jarak padang tekukur’ tidak lama lagi apabila serangan Zionis tidak berhenti meskipun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menggesa Israel menghentikan serangan terhadap orang awam.
Sebelum ini, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali memaklumkan kira-kira 60 peratus unit rumah di Gaza musnah sejak Israel melancarkan pada 7 Oktober lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute dan perunding Aman Palestin, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, Gaza kini semakin banyak tanah lapang berikutan bangunan dan rumah-rumah musnah.
Menurut beliau, keadaan Semenanjung Gaza semakin sepi apabila ramai penduduk melarikan diri ke sempadan di Mesir.
“Gaza sekarang sudah semakin hampir menjadi padang jarak padang tekukur kerana lebih daripada 80 peratus penduduk terpaksa lari menuju ke sempadan Mesir.
“Setakat ini sudah lebih daripada 1.7 juta penduduk Gaza menjadi pelarian kerana rumah mereka sudah musnah. Hampir 30,000 orang sudah terkorban dan hampir 70 ribu orang cedera,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan jumlah nilai kemusnahan dianggarkan mencecah USD6.5 bilion (RM30.6 bilion) akibat kezaliman rejim Israel.
Ia membabitkan 360,000 unit kediaman dengan 75,600 daripadanya hancur selepas dibedil tentera Israel dalam operasi ketenteraan pada hari ke-120, kelmarin.
Mengulas lanjut, Ahmad Israa’ berkata, untuk menunggu keputusan ICJ mengheret Israel ke mahkamah memakan masa dan ketika ini tidak ada tanda-tanda Zionis mahu melakukan gencatan senjata.
“Keputusan ICJ tidak memberi kesan yang menjurus kepada gencatan senjata malah Israel juga tidak menunjukkan sebarang reaksi berbeza terhadap keputusan ICJ menghentikan serangan ke atas orang awam.
“Pada waktu ini, gencatan senjata lebih bergantung kepada faktor perkiraan rejim Zionis secara politik dan kos perang sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, penduduk Gaza ketika ini tidak mempunyai rumah atau tempat tinggal malah penempatan sedia ada juga menjadi sasaran Israel.
“Bukan semua selamat didiami akibat strukturnya yang terkesan dari gegaran pengeboman Israel.
“Selain itu, serangan masih berterusan sehingga ke hari ini dan dilaporkan pesawat Israel juga menyerang khemah yang menjadi penempatan sementara penduduk Palestin di kawasan Rafah,” katanya.
Katanya, rakyat Palestin perlu menunggu kira-kira tujuh minggu sebelum ICJ mampu untuk memberi sebarang keputusan berkaitan serangan rejim Israel terhadap Palestin. – UTUSAN










